KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Kalau Indonesia ada (pemimpin wanita) seperti Presiden Megawati kenapa tidak di Malaysia? Demikian lontaran Ketua Pembangkang Parlimen yang baru, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai peluangnya menjadi Perdana Menteri (PM) pada Majlis Makan Malam Ahli Parlimen bersama Ketua Pembangkang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen malam tadi. "Peluang sebagai PM (akan muncul) ketika kami mempunyai banyak kerusi Parlimen, insya-Allah. Sebelum Anwar dapat memegang teraju itu kerana dia belum lagi menjadi ahli Parlimen serta belum berlaku pilihan raya umum, jadi kalau itu berlaku, saya akan menjadi Perdana Menteri, insya-Allah. Kalau Indonesia boleh ada Presiden Megawati kenapa tidak Malaysia?" ujar beliau penuh yakin dalam lembut tutur katanya. Ditanya perasaannya kali pertama sebagai Ketua Pembangkang, beliau menjelaskan bahawa ahli Parlimen pembangkang mempunyai matlamat antara lain memberi perbahasan berkualiti. "Kita menjurus kepada kerajaan yang lebih baik, lebih bertanggungjawab dan lebih telus. Jadi saya rasa tugas ini sedikit mencabar, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya masih baru, ini baru hari pertama. "Mereka (ahli Parlimen pembangkang) telah memberi saya sokongan padu dan kita akan melihat satu perbahasan yang rancak dalam sesi Parlimen ini," jelasnya. Beliau turut mengimbau perjalanannya dalam politik sehingga memegang jawatan Ketua Pembangkang. "Saya seorang ahli politik yang bukan melalui jalan biasa kerana keadaan dan situasi yang membolehkan saya sampai ke tahap ini. "Namun seperti yang saya katakan, dengan bilangan ahli pembangkang yang ramai, saya akan mendapat sokongan kuat dan padu bagi memudahkan tugas dipikul dan ada keringanan kerana kerja bersama," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan