Followers

Jumaat, 22 Februari 2008

PAS tergugat dengan formula 3 + 1 BN?

Intan Abdullah Fri Feb 22, 08 2:30:48 pm MYT
Setelah menerajui negara sejak 50 tahun yang lalu, Umno-BN dikatakan mempunyai resepi kejayaan 3 + 1 yang sukar ditandingi pembangkang.Pendapat itu diutarakan oleh Ketua Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohamad Agus Yusof yang merasakan ia adalah formula yang sukar ditandingi oleh pembangkang. "Tiga formula tersebut adalah kekuatan ekonomi, keharmonian hubungan antara kaum dan kestabilan politik dalam negara. Manakala satu lagi adalah kerjasama politik antara kaum yang sehingga kini sukar untuk ditandingi pembangkang," katanya ketika dihubungi Harakah. Tambahnya, isu terbesar yang boleh memberi kesan dan mempengaruhi rakyat adalah isu ekonomi. "Kerajaan telah mengetahui bahawa jika rakyat berasa selesa, mereka tidak akan berganjak untuk mengubah tampuk kepimpinan negara," ujarnya. Katanya permuafakatan politik antara parti-parti komponen BN ternyata lebih utuh berbanding pakatan pembangkang yang tidak stabil dalam jangka masa panjang. Selain itu, Agus berpendapat, pengundi muda perlu diberi perhatian kerana mereka adalah pengundi baru yang masih lagi belum memiliki apa-apa ideologi atau fahaman politik.
"Mereka inilah yang akan menentukan kedudukan dan senario politik negara pada masa akan datang, dan jangan kata mereka ini kuat dipengaruhi bahan internet kerana mereka lebih terkesan dengan apa yang ditonton di televisyen," ulasnya. Ujarnya, satu kajian menunjukkan bahawa 67 peratus daripada golongan muda suka menonton televisyen, manakala 57 peratus membaca akhbar dan 12 peratus gemar melayari internet. "Ini bermakna, generasi muda hari ini sememangnya suka menonton televisyen. Jadi, tidak hairanlah apabila kita melihat Umno-BN bersungguh-sungguh menyebarkan segala propaganda dan mesej politik mereka melalui media tersebut," katanya mengaitkan dapatan kajian tersebut dengan strategi yang sedang digunakan parti tersebut. Ketika ditanya mengenai jangkaan mood pengundi pada pilihan raya umum ke-12 ini, Agus melihat undi Melayu dijangka tidak berubah lebih-lebih lagi di kalangan pegawai kerajaan seperti yang berlaku pada pada pilihan raya umum 1999. "Sungguhpun begitu, saya menjangkakan terdapat 'swing' pengundi bukan Melayu ekoran masalah kenaikan harga minyak yang menjejaskan harga barang makanan dan keperluan, seterusnya mengakibatkan kesan negatif rakyat terhadap keadaan ekonomi negara," tambahnya. Jelasnya, pengundi bukan Melayu peka kepada isu ekonomi kerana majoriti daripada mereka tidak bergantung kepada kerajaan. "Mereka tidak terikat dengan akujanji atau apa-apa akta kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri atau makan gaji di syarikat swasta," katanya lagi. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa tiga faktor atau formula tersebut masih boleh disanggah oleh pembangkang. Tetapi formula '+ 1' yang dimaksudkan iaitu kerjasama politik antara kaum itu masih merupakan suatu keadaan yang sukar dicabar pembangkang sehingga kini. Pembangkang ujarnya masih boleh menyatakan bahawa ekonomi Malaysia kini tergugat dengan situasi kenaikan harga barang, apatah lagi hubungan antara kaum kini kian terjejas selepas isu perhimpunan Hindraf serta kestabilan politik yang tercalar dengan masalah dalaman Umno-BN yang terdedah dengan masalah salah laku dan penyelewengan. Justeru, beliau mengingatkan semua pihak terutamanya pembangkang agar berada dalam keadaan sentiasa bersedia dengan segala strategi untuk berhadapan dengan Umno-BN setiap masa jika ingin merampas kembali kuasa kepimpinan daripada parti itu.

Tiada ulasan: