PASIR MAS: Bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengakui keputusannya untuk bertanding menentang calon Umno pada pilihan raya umum akan datang disebabkan dendam kesumatnya kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang belum padam. Ibrahim berkata, tindakan parti yang pernah didokongnya itu memecat beliau adalah memalukan dan menjatuhkan maruahnya. “Saya masih dendam kerana Umno melucutkan jawatan saya (sebagai Ketua Umno bahagian Pasir Mas) tanpa sebarang sebab. “Saya ditolak (dibuang) begitu saja sedangkan saya sudah lama berkhidmat untuk Umno, hanya semata-mata kerana persempadanan semula kawasan dibuat Umno,” katanya ketika mengadakan ceramah di Kampung Belukar Bunut Susu di sini, malam kelmarin. Ibrahim, 57, dilucutkan jawatan Ketua Umno bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003, kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum 2004. Ibrahim juga berkata, beliau tidak kisah sekiranya ada yang menganggap atau menggelar dirinya sebagai ‘Raja Lompat’ kerana tidak setia kepada parti yang pernah diwakilinya. "Nak kata apa, katalah. Saya hanya tukar parti, bukan tukar agama. Yang penting, rakyat tahu macam mana saya bekerja dan apa (khidmat) yang sudah saya buat,” katanya. Pada ceramah tu, beliau turut mengumumkan akan bertanding Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum kali ini atas tiket Pas dan bukan lagi atas tiket Bebas seperti pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Pengkalan Pasir yang lalu. Beliau yang berterima kasih atas kesanggupan Pas Pusat memberi laluan kepadanya berkata, setiap gerak kerja dan kempen pilihan rayanya akan dibantu Pas. Pada sidang akhbar kemudiannya, Ibrahim berkata, beliau belum memikirkan sama ada akan menjadi ahli Pas sekiranya menang pada pilihan raya umum nanti. Sementara itu, malam kelmarin beliau dikatakan merampas serta membuang perakam kaset milik seorang wartawan yang meminta penjelasannya berhubung kedudukannya untuk bertanding pada pilihan raya umum ini. Kejadian berlaku selepas beliau berceramah di markasnya dekat Hutan Chengal, apabila Ibrahim tidak berpuas hati terhadap soalan wartawan yang mahu pengesahannya berhubung dakwaan kononnya beliau membayar wang supaya diberi laluan bertanding melawan calon BN, di situ. "You (awak)... kalau saya nafikan pun, you akan quote kata Ibrahim Ali menafikan, berita itu keluar dan orang ingat berita itu betul, jangan cuba mempermainkan saya. Awak tanya soalan yang menghina saya," katanya. Serentak itu, beliau merampas perakam kaset daripada tangan wartawan yang bertanyakan soalan itu, sebelum membuangnya dengan disambut gelak ketawa penyokongnya yang berada di sekeliling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan