Followers

Jumaat, 29 Februari 2008

Kempen pilihan raya Umno umpama saudagar mimpi

Md Hakimi Fri Feb 29, 08 6:23:42 pm MYT
BACHOK, 29 Feb (Hrkh) – Setiap kali tiba musim pilihan raya pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mulalah menabur pelbagai janji seumpama seorang ‘saudagar mimpi’ yang boleh melakukan apa sahaja. Buktinya pelbagai projek dicanang termasuk membina stadium, pusat Islam, hospital, lebuh raya, elaun guru sekolah agama mahu dinaik, kolej jururawat, pelabuhan dan sebagainya. Dalam bahasa mudah semuanya ada kecuali langit dan bumi. Timbalan Pesuruhjaya III Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, setiap kali tiba musim pilihan raya pemimpin Umno terlalu petah menabur janji. “Mereka seumpama menjual mimpi kepada rakyat tetapi semuanya belum tentu dapat ditunaikan. Rakyat Kelantan perlu bijak jangan mudah terpedaya janji lunak saudagar mimpi,” katanya pada ceramah perdana di Pantai Irama dekat sini, malam tadi. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa Yang Dipertua PAS Bachok, Dato’ Omar Mohamad dan naib Yang Dipertua, Haji Abdul Aziz Kadir. Mohd Amar berkata, contoh paling jelas tema manifesto BN ‘Selamat, Aman dan Makmur’ yang dijanjikan kepada rakyat seumpama janji kosong. “Bagaimana rakyat boleh menerima janji keselamatan, keamanan dan kemakmuran yang ditawarkan BN kalau kes adik Nurin Jazlin Jazimin yang mati dibunuh sehingga ke saat ini pembunuhnya gagal dikesan. “Bagaimana rakyat nak rasa selamat jika adik Sharline yang sudah hilang lebih sebulan masih belum ditemui. Ini persoalan besar yang perlu rakyat fikir dan renung,” ujarnya. Menurutnya bagaimana pemimpin Umno boleh menjamin keselamatan rakyat sedangkan ketua kerajaan yang ada hari ini diragui kreadibilitinya. Kata beliau, itu belum lagi diambil kira kes pembunuhan kejam Altantuya sehingga menjatuhkan reputasi negara di mata dunia yang turut melibatkan anggota keselamatan. “Kalau pasukan keselamatan seperti polis yang menjadi harapan rakyat sudah tidak boleh diyakini dan pemimpin kerajaan mengkhianati amanah rakyat, bagaimana rakyat boleh rasa aman dan makmur,” kata beliau. Selain itu katanya rakyat juga semakin tertekan dengan kanaikan harga minyak, harga barangan keperluan harian, tol, kos pendidikan tinggi, perubatan, tarif elektrik dan banyak lagi. Beliau juga mempersoalkan mengapa pemimpin Umno kononnya mahu melaksanakan Islam sebenar di Kelantan sekiranya diberi mandat, sedangkan 13 negeri lain yang diperintah BN penuh dengan maksiat. “Kenapa tidak buat di negeri Umno perintah, kenapa tak buat di Kedah, Terengganu dan negeri-negeri lain. Kalau di negeri lain yang sudah 50 tahun di bawah BN tidak mampu dilaksanakan, usah harap tamadun Islam mahu dilaksanakan di Kelantan. “Begitu juga dengan nasib orang Melayu di Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang terus terpinggir gagal diberi perhatian pemimpin Umno,” katanya. Husam pula berkata, kedudukan indeks jenayah dan rasuah yang sudah tidak terkawal menunjukkan negara sedang menuju ke lembah kehancuran. Katanya, semuanya itu berlaku ketika negara di bawah pentadbiran BN. Menurutnya juga sekiranya rakyat tersalah pilih pada pilihan raya 8 Mac ini pentadbiran Islam yang diasaskan di Kelantan sejak 18 tahun lalu akan tinggal kenangan. Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kira-kira 80 peratus calon Umno di Kelantan terdiri daripada golongan peniaga yang tentunya lebih mementingkan keuntungan peribadi berbanding kabajikan rakyat. “Ini jelas terbukti sebahagian besar daripada calon BN yang menang pada pilihanraya 2004 telah mendapat anugerah projek kerajaan Pusat tanpa melalui tander terbuka. “Ada wakil rakyat Umno yang mendapat projek membina jalan raya, jambatan, sekolah dan sebagainya. Jadi kontraktor-kontraktor lain terpaksa bersaing dengan mereka,” ujarnya.

Tiada ulasan: