Followers

Isnin, 18 Februari 2008

Jangan terperdaya dengan dakyah BN untuk tawan Kelantan

Intan Abdullah Foto Nasir Sudin Mon Feb 18, 08 12:10:38 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - PAS Kelantan menyeru rakyat yang berada di luar negeri itu, agar tidak terpengaruh dengan dakyah pemimpin Umno-BN untuk memaksa mereka menukar kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui PAS sejak 18 tahun yang lalu. Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohda Yusof berkata, rakyat Kelantan tidak akan mudah tertipu dengan apa jua propaganda dan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat "Umno-BN menggunakan taktik kotor untuk menawan Kelantan melalui perang saraf yang diketuai menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dengan slogan 'Pade doh' untuk memaksa rakyat Kelantan untuk balik mengundi mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Tegasnya, Umno-BN tidak sewajarnya memfitnah sebuah kerajaan yang bersih (PAS) dan adil, berteraskan Islam berbeza dengan kepimpinan kerajaan pusat yang diterajui Umno-BN yang sarat dengan masalah dan kegagalan dalam mentadbir negara ini. "Umum mengetahui bahawa tiada pemimpin Umno yang bersih, jika tidak masakan mantann Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyeru rakyat agar menolak pemimpin yang bermasalah dan korup termasuklah pemimpin Umno-BN," ujar Naib Ketua Muslimat PAS Pusat ini lagi. Justeru, beliau yakin dengan saranan tersebut rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah berlaku kini termasuk nasib yang menimpa mereka setelah pelaksanaan pelbagai kaedah yang tidak mengendahkan kepentingan dan kebajikan rakyat. "Masalah jenayah yang menjejaskan keselamatan makin ketara, ditambah dengan kos kehidupan yang semakin mencengkam apatah lagi dengan sistem kehakiman yang sudah tidak boleh dipercayai lagi. Kita tidak mahu ini semua mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan Islam di Kelantan," katanya. jelasnya, rakyat khususnya golongan wanita dan generasi muda mempunyai masa depan yang gemilang bersama Islam dengan kepimpinan yang lebih baik daripada apa yang ditonjolkan oleh Umno-BN. Siti Zailah yang bakal bartanding di kerusi Dewan Undangan Negeri berpendapat, sempena pilihan raya umum ke-12 ini,pemimpin-pemimpin kanan Umno-BN berlumba-lumba datang ke Kelantan dalam usaha untuk menawan kembali kerajaan negeri itu daripada PAS. "Bahkan tidak hairanlah jika terdapat sesetengah pihak yang sangsi dengan keghairahan mereka itu yang sanggup menggunakan apa jua termasuk membeli undi dengan menggunakan peruntukan dana yang besar," katanya lagi

Tiada ulasan: