Followers

Selasa, 27 November 2007

Umpan tiket Toto

MELAKA: Berwajah sedih, berpura-pura menangis dan memerlukan wang dengan segera adalah antara taktik tiga lelaki warga asing untuk menipu perempuan dengan menunjukkan tiket Toto yang dimenangi mereka untuk ditukarkan dengan barangan kemas dan wang. Taktik yang digunakan mereka ini menyebabkan ramai mangsa kerugian kira-kira RM4,000 selepas mendapati tiket Toto yang diberikan tiga lelaki berkenaan tidak memenangi sebarang peraduan atau pertandingan. Ketua Jabatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Sum Cheng Keong, berkata suspek akan mendakwa mereka kononnya warga Indonesia dan tidak boleh menuntut wang kemenangan itu dan sanggup menukarnya kepada mereka yang berminat walaupun jumlah diterima tidak banyak. Beliau berkata, sepanjang November saja, terdapat empat kes penipuan tiket Toto membabitkan mangsa wanita Melayu berumur antara 38 hingga 60 tahun. Menurutnya, kes terbaru seorang wanita berumur 60 tahun dari Alor Gajah dihampiri seorang lelaki warga asing di pusat beli-belah, kira-kira 3 petang, kelmarin.Beliau berkata, lelaki itu menunjukkan tiket Toto dimenanginya berjumlah RM55,000 dan mendakwa tidak boleh menuntutnya kerana dia warga Indonesia. "Ketika itu, suspek akan menunjukkan muka sedih dengan mendakwa saudaranya kini menjalani pembedahan dan memerlukan wang segera. Warga emas itu bersetuju mengambil tiket Toto berkenaan dan menyerahkan barangan kemas dan RM4,000 kepada lelaki berkenaan."Wanita itu membawa tiket Toto itu ke pejabat Toto untuk ditukar tetapi tiket berkenaan didapati palsu. Dia menyedari ditipu lelaki berkenaan dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya. Sum berkata, ada antara mangsa yang tidak mempunyai wang sanggup menyerahkan barangan kemas kepada suspek berikutan terpedaya dengan jumlah dimenangi lelaki berkenaan.Beliau berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan taktik lelaki berkenaan berikutan Toto tidak memberikan sehingga RM55,000. Katanya, polis sedang memburu tiga lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 40-an yang menggunakan tiket Toto palsu menipu orang ramai di negeri ini. Beliau berkata, mangsa tiket Toto ini sudah mengenalpasti wajah tiga lelaki itu dan polis tidak dapat mengesan mereka berikutan menggunakan alamat di Indonesia. Katanya, polis percaya ramai warga asing melakukan penipuan menggunakan tiket Toto dan loteri berikutan mereka sering bertukar tempat mencari mangsa. Menurutnya, sejak awal tahun sehingga sekarang, 13 kes membabitkan sindiket penipuan tiket loteri dan Toto dilaporkan di negeri ini.

Tiada ulasan: