Followers

Selasa, 27 November 2007

Pulau Batu Puteh: Siapa lebih bersedia?

Sekiranya Malaysia menang perbicaraan di Mahkamah Pengadilan Antarabangsa di bandar raya The Hague, Belanda, bagi mendapatkan Pulau Batu Puteh, puji-pujian yang melimpah luah pastinyalah akan diberikan kepada perwakilan negara.Tetapi seandainya Malaysia gagal, pasti ada orang dan pihak yang akan berkata ia adalah kehendak takdir maka kita terima sahajalah. Menyalahkan takdir sudah menjadi amalan ramai pembesar di Malaysia. Tanah runtuh, salahkan takdir, bangunan runtuh, salahkan takdir, mayat bergelimpangan di jalan raya, salahkan takdir. Menurut laporan terbaru Bernama dari The Hague, perwakilan Malaysia sudah bersedia untuk mengemukakan pusingan terakhir penghujahan lisannya bagi mematahkan hujah-hujan Singapura. Kita berdoa dan berharap mereka tidak menghampakan nagara. Di seberang Tambak Johor pula, jika mereka menang, mereka akan mendabik dada mengatakan kemenangan itu memang sudah dijangkakan kerana mereka mengemukakan perwakilan yang cekap dan berwibawa. Tetapi seandainya mereka kalah, sesuatu yang tidak menyenangkan pasti akan berlaku kepada anggota perwakilan itu, sama ada secara terbuka atau diam-diam. Takdir bukan suatu alasan yang kuat bagi melindungi kegagalan bagi pemerintah negara pulau itu. Kalau Malaysia menang dan kemenangan itu disebabkan pencapaian perwakilannya, maka pastilah ada orang akan mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan minda yang hebat dan superior.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana dari sudut perwakilan, Singapura jelas mengemukakan sebuah pasukan peringkat tinggi yang cukup hebat. Manakala kita hanya menghantar perwakilan peringkat pegawai. Pasukan Singapura, mengikut laporan media, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional dan Menteri Undang-Undang, Prof. S. Jayakumar dan dibantu oleh Ketua Hakim Negara Chan Sek Keong, Peguam Negara Chao Hick Tin dan Duta Bebas (Ambassador-at-Large) Prof. Tommy Koh.
Mereka disokong pula oleh panel peguam antarabangsa yang terdiri daripada Ian Brownlie Q.C, Prof. Alain Pellet, Rodman Bundyn dan Loretta Malintoppi. Manakala pasukan Malaysia dikepalai oleh Duta Bebas merangkap penasihat hal ehwal antarabangsa kepada Perdana Menteri, Abdul Kadir Mohamad yang juga berupa kepala delegasi Malaysia bagi rundingan Jambatan Bengkok dengan Singapura. Umum tentu tahu apa yang terjadi kepada rundingan berkenaan - projek di wilayah Malaysia sendiri terpaksa dibatalkan kerana kononnya ditentang dan diancam oleh Singapura! Abdul Kadir dibantu oleh Duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin dan Peguan Negara Abdul Ghani Patail dan disokong oleh panel perundangan antarabangsa terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor undang-undang antarabangsa Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver, profesor undang-undang awam dan antarabangsa Universiti Lieden, Belanda, Marcelo G. Kohen, profesor undang-undang antarabangsa, Institut Pengajian Antarabangsa, Geneva, Switzerland, dan Penelope Nevill, Downing College, Universiti Cambridge.
Hakim-hakim perbicaraan adalah Raymond Ranjeva, (Madagascar), Shi Jiuyong (China), Abdul G. Koroma (Sierra Leone), Gonzalo Parra Aranguren (Venezuela), Thomas Buergenthal (Amerika Syarikat), Hisashi Owada (Jepun), Bruno Simma (Jerman), Peter Tomka (Slovakia), Ronny Abraham (Perancis), Kenneth Keith (New Zealand), Bernardo Sepulveda Amor (Mexico), Mohamed Bennouna (Maghribi) dan Leonid Skotnikov (Rusia). Pembabitan peringkat menteri bagi Malaysia, menurut sebuah laporan Bernama, hanyalah kehadiran Menteri Luar Syed Hamid Albar di The Hague pada 12 November "untuk menunjukkan sokongan" kepada pasukan Malaysia. Kita berdoa bahawa menjelang Jun tahun hadapan, apabila mahkamah membuat keputusan, Pulau Batu Puteh dan dua pulau kecil berdekatannya menjadi milik kita yang sah. Seandainya tidak, janganlah kita salahkan takdir bulat-bulat. Mesti ada orang yang memikul bertanggungjawab kegagalan itu!
Bukankah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sering mengingatkan bahawa "failure is not a choice" - kegagalan bukan suatu pilihan?

Tiada ulasan: