Followers

Selasa, 20 November 2007

Pengerusi SPR hina Yang di-Pertuan Agong - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Hrkh) - Tindakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman yang mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tahu bila tarikh Pilihan Raya Umum ke-12 merupakan satu kenyataan yang jelas menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kenyataan Tan Sri Rashid bahawa beliau tahu bila tarikh Pilihan Raya Umum ke-12 itu jelas menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. "Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kuasa memperkenankan pembubaran Parlimen merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah menerima permohonan dari Perdana Menteri. "Apabila Tan Sri Rashid sewenang-wenangnya mengisytiharkan yang beliau telah tahu akan tarikh pilihan raya bermakna beliau telah bertindak membelakangkan sama-sekali kuasa Yang di-Pertuan Agong itu, sekaligus membelakangkan undang-undang tertinggi negara dan ini merupakan satu tindakan yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Oleh itu, katanya, PAS mendesak agar pihak istana, sebaik-baiknya melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, segera mengeluarkan kenyataan meminta agar Tan Sri Rashid menarik balik kenyataan beliau itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong. "Malah PAS menjadi bertambah ragu dan keliru berikutan kenyataan Perdana Menteri di Kuala Terengganu semalam bahawa beliau sendiri hairan bagaimana Tan Sri Rashid boleh mendakwa yang ia tahu akan tarikh tersebut sedangkan Perdana Menteri sendiri kononnya belum menentukannya. "Ini membuktikan yang Tan Sri Rashid sebagai Pengerusi SPR yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong telah berbohong secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,"tambahnya. Ujarnya, bagi PAS ketidaktentuan terhadap tarikh pilihan raya umum di Malaysia adalah bukti betapa tidak demokratiknya negara ini berbanding negara-negara maju yang lain yang mengamalkan sistem demokrasi.

Tiada ulasan: