Followers

Selasa, 20 November 2007

Pasukan khas pantau pilihan raya ke-12

PUTRAJAYA 19 Nov. – Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel), sebuah badan bebas, telah menubuhkan satu pasukan khas bagi tujuan pemantauan secara menyeluruh pilihan raya umum ke-12.Pengerusinya, Abd. Malek Hussin berkata, pasukan itu terdiri daripada lapan anggota dan akan dibahagikan kepada empat wilayah.‘‘Wilayah utara akan diketuai oleh Ong Boon Keong, pantai timur (Dr. Abdul Halim Yusof), wilayah tengah dan selatan (Badarudin Ismail) manakala Sabah dan Sarawak oleh Mark Bujang.‘‘Dalam hal ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberikan sokongan kepada kita untuk memantau pilihan raya umum akan datang dan bagi mendapatkan dana awam untuk tujuan pemantauan itu,” katanya.Beliau berkata demikian selepas menyerahkan laporan akhir pemerhatian ke atas tiga pilihan raya kecil di Batu Talam, Machap dan Ijok yang diadakan sebelum ini kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman di sini hari ini.Mengenai pertemuan dengan Rashid, Abd. Malek berkata, beberapa cadangan dikemukakan oleh Mafrel untuk meningkatkan prestasi amalan pilihan raya di negara ini.‘‘Kami gembira kerana SPR bersetuju untuk menerima kedatangan Mafrel. Kami telah mendapat pengiktirafan daripada SPR dan mereka memperakui kepentingan sesuatu usaha pemantauan domestik secara bebas dan adil,” jelasnya.Dalam laporan yang dikemukakan itu, kata Abd. Malek, ada kelemahan telah diperbaiki, sedang dan dalam rundingan untuk diperbaiki oleh SPR dan badan berkenaan memberikan reaksi yang positif.
Sementara itu, Rashid berkata, pihaknya mengambil berat mengenai laporan yang dikemukakan oleh Mafrel dalam usaha SPR menangani pelbagai kelemahan yang ada.
‘‘Namun kita menerimanya menurut kerangka undang-undang yang diperuntukkan kepada kita. Kita juga telah mengadakan pilihan raya mengikut standard yang ditetapkan.
‘‘Kita telah menggunakan dakwat dan kotak undi lut sinar. Semua ini SPR sendiri yang buat kajian, namun Mafrel kemukakan cadangan yang berguna,” katanya.

Tiada ulasan: