Israel atau Amerika serang Iran?
Wan Abdul Latif Wan Muda Thu Aug 02, 07 03:19:29 PM
Antara Israel dan Amerika, pihak manakah yang akan memulakan tindakan menyerang? Aspek ini jelas menakutkan kerana kedua-dua negara tersebut menyatakan rasa tidak puas hati secara terang-terangan ekoran tekanan yang diberikan langsung 'tidak dihiraukan' Teheran untuk menghentikan program pembangunan nuklear.
Rancangan menyerang Iran bukanlah baru kerana ura-uranya pernah disiarkan sejak 2002 sebelum serangan terhadap Iraq dilakukan. Hal ini disumbangkan oleh pelbagai sebab selain gerakan yang dilihat kian radikal, menentang hegemoni dan pengukuhan dasar anti-Israel.
Israel menganggap kewujudan Iran adalah ancaman kerana ketegaran meneruskan program nuklear dan dalam tempoh jangka panjang sekiranya dibiarkan Teheran akan mampu mencapai motif. Regim berpendapat Washington lambat bertindak dan dianggap satu 'kesilapan dasar yang besar'.
Selain itu Israel tidak percaya usaha antarabangsa akan mampu menyekat kemahuan Teheran untuk membangunkan loji nuklear bagi tujuan keamanan. Beberapa negara Eropah pula tidak selari dengan pendirian Washington dan berpendapat tindakan menyerang tidak sesuai tetapi inisiatif diplomasi hendaklah diberi keutamaan walaupun Britain selaku sekutu penting Amerika sering akur dengan keputusan kuasa besar itu.
kalah lobi
Israel yang tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah dan secara langsung 'kalah lobi' kepada Amerika membayangkan pentingnya serangan mula sebagaimana pernah dilakukan terhadap reaktor nuklear Iraq pada 1981.
Pada 2004 Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengumpul maklumat apabila berjaya menghimpunkan pakar-pakar perisikan nuklear di Virginia. Tujuannya untuk mengetahui dengan tepat sesebuah negara mempunyai kemampuan bom atom atau tidak. Rumusan dicapai, langkah-langkah pengesanan paling penting adalah menerusi pemantauan jarak jauh.
Susulannya pada tahun sama ahli sains dari Amerika, Perancis, Jepun, Britain dan Rusia bertemu secara sulit meneliti data yang dikumpulkan oleh pasukan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Mereka memadankan dengan tepat sampel uranium gred tinggi yang diperkaya (HEU) yang menjadi bahan utama dalam pembuatan bom nuklear dengan alat emparan yang diserahkan kepada kerajaan Pakistan.
Sisa uranium tersebut adalah daripada peralatan yang dibeli beberapa tahun lalu dari Pakistan tetapi pentadbiran Bush menjadikan hujah kononnya Teheran sudah menghasilkan bahan membuat bom. Menerusi kajian dan penemuan ini, pakar kerajaan Amerika dan ahli sains antarabangsa membuat kesimpulan tiada bukti Iran melakukan ujian sulit menghasilkan senjata nuklear kerana sisa uranium gred bom yang ditemui di Iran itu sebenarnya daripada peralatan Pakistan yang tercemar. Bagaimanapun Tel Aviv dan Washington sukar menerima kenyataan ini dan masih berterusan melancar serangan psikologi, bahawa Iran kian hampir 'mencapai matlamat'.
sekatan politik, ekonomi & diplomatik
Desakan dibuat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengenakan sekatan yang meliputi politik, ekonomi dan diplomatik. Berasaskan pandangan awal anggota IAEA bahawa Iran merancang memproses beberapa tan bahan mentah uranium dan usaha menghasilkan komponen emparan-dua kegiatan boleh dikaitkan dengan pembuatan kepala peledak nuklear.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh dakwaan kumpulan oportunis diwakili Majlis Kebangsaan Penentang Iran (NCRI) yang merupakan sayap Pertubuhan Mujahidin Rakyat apabila mengaitkan bekalan nuklear juga diperoleh Libya.
Perolehan Iran melalui Abdul Qader Khan (Bapa Nuklear Pakistan) yang mengendalikan pasaran gelap nuklear sejagat sehinggalah ia dihentikan awal 2004. Selain itu Iran dikaitkan mendapat reka bentuk kepala peledak yang dibuat China di antara 1994 dan 1996.
Bagi menyempurnakan tugas pemantauan dan pengesanan, tumpuan diberikan kepada pembangunan peralatan pengesan yang berupa pesawat kawalan jauh untuk mengesan gas heksafluorida dalam kandungan udara atau asap selain petunjuk dari daratan dan air. Pun begitu, paling menimbulkan masalah program pembangunan nuklear yang dijalankan di tapak haram yang tidak diisytiharkan dan sama sekali di luar jangkauan IAEA.
Pada 2005 dua buah pesawat tanpa juruterbang ditemui jatuh dalam wilayah Iran dan aduan dikemukakan kepada PBB. Penerbangan menggunakan dron tanpa pemandu sudah dilakukan hampir setahun sebelum itu untuk tujuan risikan di ruang udara ke atas kemudahan tentera dan nuklear dan pasukan tentera pernah menembaknya.
serangan waktu solat Subuh
Tahun 2004 perkembangan 'serangan' kian kontroversi menerusi pendedahan simulasi pelan serangan ketika waktu subuh semasa pemimpin Iran mengerjakan solat. Waktu tersebut dianggap memberi kelebihan kepada pihak penyerang dengan mengguna pesawat yang dapat melakukan penembusan dalam (deep penetrating) dan serangan carpet bombing dalam kegelapan malam.
Sasaran penting ialah memusnah loji-loji di beberapa lokasi. Gaya serangan cadangan ini hampir menyamai tindakan rejim mengebom kedudukan pesawat Mesir semasa perang Arab-Israel 1967 pada waktu sarapan juruterbang.
Simulasi serangan tiga peringkat yang berjaya ditamatkan oleh Jabatan Pertahanan itu bagi menguji keupayaan tentera negara itu untuk melancar serangan, memusnah loji dan kemudahan nuklear. Peringkat itu membabitkan serangan udara terhadap Kor Pengawal Revolusi yang dipercayai mengawal program nuklear dan peluru berpandu. Rumusannya, peringkat itu dapat dilakukan dalam tempoh paling singkat, hanya sehari.
Dalam fasa kedua, serangan ditujukan kepada sasaran tapak senjata bukan konvensional dan kemudahan sokongan di seluruh negara. Anggarannya terdapat lebih 250 tapak yang meliputi 125 kompleks biologi, kimia dan nuklear.
Semasa fasa tiga ia membabitkan serangan darat dari lima penjuru dan memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu menerusi pelancaran pencerobohan dari Iraq, utara Teluk Parsi, Azerbaijan, Afghanistan dan Georgia.
Pada masa sama Teheran dikepung bagi menguatkan cengkaman untuk mematahkan pengaliran tentera keluar dan mengubah lokasi atau bantuan logistik ke dalam.
Tempoh serangan singkat itu akan mewakili serangan padat, cepat dan berkesan kerana semakin lama tempoh yang diambil ia akan membuka peluang tindak balas dan unjuran risikonya tidak lagi dapat diduga. Persoalan yang masih menjadi teka-teki, sekiranya Israel mempunyai kesungguhan politik, mampukah ia memikul tugasan bagi memadamkan rasa tidak selamat secara bersendirian?
Rejim sememangnya memiliki keupayaan bom nuklear dan konvensional, pesawat tanpa pemandu (UAV), satelit, peluru berpandu dan kapal selam.
Satelit Ofeq miliknya walaupun daripada jenis perisikan tetapi untuk penyuluhan menyeluruh masih memerlukan sokongan. Dan kekurangan yang wujud telah menampakkan jurang luas - hanya Amerika mampu mengatasinya dengan enam satelit yang dikoordinasi semasa serangan terhadap Iran. Selain itu satelit tersebut juga mengambil foto kedudukan tapak loji di Iran dan Korea Utara.
Dipercayai Israel mendapat manfaat perisikan yang dilakukan hampir sedekad oleh Amerika menerusi pembentukan zon larangan terbang di selatan Iraq, seterusnya melancar satelit baru yang membantu serangan dan pemetaan digital menyeluruh topografi dan lokasi kemudahan sensitif tentera.
bantuan logistik Washington
Dipercayai, sekiranya Israel benar-benar melakukan serangan maka Washington tanpa ragu-ragu memberi akses dan bantuan logistik. Kenyataan ini dapat disandarkan kepada beberapa perkembangan. Semasa Perang Teluk 1991 peluru berpandu penangkis Patriot dihantar ke bahagian barat untuk menangkis peluru berpandu Scud B dan C ke wilayah Israel.
Selaku negara yang mengamalkan doktrin pertahanan padat, Patriot sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia.
Dari segi penggunaan bom taktikal, Amerika mempunyai pengalaman khusus semasa Perang Teluk yang digunakan mengebom kubu-kubu di Iraq kononnya tahap ketahanannya menyamai piawai kubu milik negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Di Afghanistan pula telah digunakan terhadap rangkaian dan struktur kompleks gua di kawasan berbukit-bukau seperti di Tora Bora dan Zhawar selain ke atas Kandahar iaitu kubu Taliban, siang dan malam.
Bom tersebut adalah peledak kubu bawah tanah GBU-28 yang dipandu laser. Ia digugurkan dari jarak tinggi oleh pesawat suspersonik seperti Stealth F-117 yang kelajuannya dibantu oleh tarikan graviti dengan daya hentakan kuat menyebabkannya mampu menembusi konkrit tebal atau lubang 30 meter di bawah tanah sebelum meletup yang dijana bahan letupan 306 kilogram. Bom ini direka dan dikeluarkan dalam masa 17 hari untuk dicuba dalam Perang Teluk 1991 dan tidak mengkecaikan keseluruhan binaan.
Bom seumpama ini begitu diperlukan untuk membedil kemudahan nuklear yang sesetengah kompleksnya terletak di bawah tanah dengan mensasarkan laluan pintu masuk tersembunyi dan struktur binaan utama iaitu logi pengkayaan bahan api.
Bom tersebut juga dibekalkan kepada Israel sebanyak 100 buah hanya untuk membunuh pemimpin Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dan memusnahkan parti-parti pertahanan semasa perang di Lubnan tahun lepas.
perang rahsia
Dalam konteks sebenar Barat sudah melancar 'perang rahsia' terhadap Iran (termasuk Korea Utara) menerusi program dikenali Inisiatif Keselamatan Kawalan Senjata (PSJ) yang diterajui Amerika dan Britain menjadi anggota penting selain Australia, Singapura, Jepun, Itali dan Sepanyol.
Ia membabitkan tentera laut, udara dan agensi perisikan yang menggerakkan armada pesawat dan kapal.
Mana-mana kapal yang disyaki akan ditahan dan digeledah dengan motif penting menghentikan usaha jual beli senjata pemusnah besar-besaran.
Selari itu operasi sulit dibuat di dalam Iran dengan melatih kumpulan Mujahideen-el Khalq dan beberapa kumpulan penentang lain untuk melakukan operasi rentas sempadan. Unit komando Amerika juga memasuki wilayah untuk mengumpul data dan mengukuhkan hubungan dengan kumpulan minoriti kecil anti-kerajaan sebagaimana dilakukan di Afghanistan dengan merasuah berjuta-juta dolar kepada suku kaum pribumi.
Dalam perkembangan mutakhir, Washington menggerakkan tentera yang menggambarkan kesediaan berdepan ketegasan Iran dan mengenakan tekanan lebih hebat berhubung program nuklearnya.
Dan ketika di tengah-tengah ketegangan memuncak, Teheran menembak jatuh sebuah pesawat pengintip kuasa besar itu.
Kaedah ini bukan pertama kali digunakan kerana semasa perang Iran-Iraq memuncak pada 1986 dianggarkan 40 kapal perang dari Amerika Syarikat, Russia, Britain, Perancis dan beberapa negara lagi digerakkan untuk memberi tekanan supaya Iran akur dengan tuntutan diplomasi dan penamatan konflik.
Dan kini kapal pengangkut kedua, USS John C Stennis dikerah menyertai USS Enterprise bagi mengukuhkan ketegaran tekanan. Langkah ketenteraan ini menimbulkan pelbagai reaksi di Kongres apabila wakil Demokrat menyuarakan rasa kurang senang dengan perjudian menerusi perang yang sudahpun menelan puluhan ribu korban nyawa (rakyat Iraq dan tentera Amerika), kerosakan harta benda, suasana anarki serta motif yang ingin ditonjolkan dan perbelanjaan puluhan billion.
Yang terserlah, mereka mahu Iran dilemahkan atau paling minimum tunduk kepada desakan. Sekiranya hal ini berlaku, Israel kekal menjadi kuasa nuklear tunggal di Asia Barat.
Pun begitu jika tercapai, ini hanya boleh dianggap kejayaan satu episod sahaja kerana Iran sering dikaitkan dengan sasaran percaturan kompleks dalam banyak perkembangan yang berlaku di rantau itu termasuklah isu senjata konvensional.
Jadi, apakah ancaman sebenar yang sering dilaung-laungkan terhadap Iran - hanya masa yang akan menentukan detiknya tentang muslihat sebenar!/tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan