Followers

Rabu, 8 Ogos 2007

BANK SPERMA : APAKAH UKURAN SENSITIVITI UMAT ISLAM?

Apabila isu wujudnya bank sperma di Malaysia didedahkan di dada-dada akhbar baru-baru ini, tidak ramai nampaknya yang mengambil berat walaupun sememangnya terdapat sebahagian yang agak sensitif. Meskipun tidak wujud sebuah bank khusus yang membekalkan sperma di Malaysia, namun perkhidmatan ini dikatakan ada ditawarkan di beberapa hospital swasta yang tertentu. Mungkin tidak ramai di kalangan masyarakat yang mengetahui akan kewujudan perkhidmatan ini, namun bagi mereka yang telah berkahwin dan tidak mempunyai zuriat, hal ini biasanya berada di dalam pengetahuan mereka. Bagi sesetengah golongan yang memandang serius akan isu ini, pelbagai respon telah diberikan. Antaranya adalah pihak Kementerian Kesihatan, yang telah sedar bahawa selama ini Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus tentang bank sperma ini. Mereka bercadang untuk membawa isu ini ke Parlimen. Sehubungan itu, tokoh agama dan pertubuhan berasaskan kaum mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan menggubal undang-undang berhubung perkhidmatan bank sperma yang ditawarkan hospital swasta negara ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat, khususnya umat Islam [BH 26/06/07].


Bank sperma sebenarnya sudah lama wujud, terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tetapi hanya popular di dunia sebelah sini kira-kira sedekad lalu khususnya di kalangan wanita bujang atau pasangan yang gagal mendapat zuriat sendiri. Mereka boleh pergi ke bank sperma dan membelinya seperti membeli baju dengan memilih jenis air mani berasaskan etnik, bentuk fizikal, latar belakang pendidikan dan kesihatan penderma. Malah, orang ramai boleh membelinya melalui internet dan membuat pilihan jenis air mani berdasarkan senarai profil yang disediakan. Perniagaan air mani ini berlaku di serata dunia tanpa kawalan. Dengan percuma melayari laman web, kita dapati banyak bank sperma di merata tempat dan ia menjadi satu perniagaan menguntungkan. Misalnya, bank sperma terbesar di Amerika, Cryobank, di California, dikatakan dikunjungi beribu-ribu wanita bujang untuk hamil. Ia menetapkan kadar bayaran tertentu bagi setiap spesimen air mani yang dijual selain mengenakan beberapa caj tambahan antara AS$180 hingga AS$250 (RM650 hingga RM900) bagi setiap botol air mani. The Sperm Bank of California pula mengenakan caj RM57 bagi setiap profil lengkap penderma sperma yang dikemaskinikan setiap enam bulan. Sperm Bank Directory.com menjelaskan, penderma air mani menerima bayaran antara AS$35 hingga AS$50 (RM126 hingga RM180) dari bank sperma bagi setiap spesimen. Sebuah bank sperma China di Shanghai mengiklankan laman webnya dalam internet sejak 1998 bagi mencari penderma dan dilawati berpuluh-puluh ribu orang dari serata dunia. Di Singapura, Bank Sperma National University Hospital (NUH) pula menggalakkan pendermaan air mani dengan memberi imbuhan elaun pengangkutan RM300 (S$150) [BH 27/06/07].

Mengikut laporan Berita Harian lagi, di negara ini, bank sperma sebenarnya telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu, yang dikendalikan hospital swasta dengan menawarkan sperma kepada pasangan tidak subur mendapatkan anak. Setakat ini, tiada peraturan khusus mengenainya dan sebab itulah cadangan Kementerian Kesihatan untuk menggubal undang-undang berhubung perkhidmatan bank sperma amat dialu-alukan. Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkan perkhidmatan bank sperma, setakat ini tiada peruntukan undang-undang menghalang perkhidmatan hospital swasta menawarkan sperma kepada pasangan tidak subur mendapatkan zuriat. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, kementerian itu sedang memperincikan segala aspek berhubung perkara ini, termasuk dari perspektif agama, moral, institusi keluarga dan etika kerana isu berkenaan amat sensitif. Kebimbangan ini turut dikongsi Presiden Persatuan Perubatan Islam, Prof. Madya Dr Abdul Latiff Mohamad yang berkata, sehingga kini belum ada akta diwujudkan bagi menjelaskan kesahihan bank sperma ini kepada masyarakat sekaligus mengundang kontroversi serta kekeliruan di kalangan umat Islam [BH 25/06/07].

Bank Sperma – Bagaimanakah Cara Kita Berfikir?

Perkahwinan di dalam Islam merupakan suatu institusi yang mulia. Ia adalah ikatan yang menghubungkan seorang lelaki dengan seorang perempuan sebagai suami isteri. Hasil dari akad yang berlaku, kedua-dua suami dan isteri mempunyai hubungan yang sah dan kemaluan keduanya adalah halal untuk satu sama lain. Sebab itulah akad perkahwinan ini dikatakan sebagai satu akad untuk menghalalkan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan wanita, yang sebelumnya diharamkan. Namun, hubungan perkahwinan yang wujud ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kepuasan seks, tetapi merupakan satu kedudukan untuk melestarikan keturunan manusia secara sah. Oleh sebab itu, mana-mana anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang sah adalah anak sahtaraf. Anak tersebut dikatakan mempunyai nasab yang sah dari segi hukum syara’, berbeza dengan anak zina yang tidak boleh dihubungkan dengan mana-mana nasab. Islam memandang penting akan hubungan perkahwinan atau persetubuhan sah ini kerana ia melibatkan banyak lagi hukum lain yang muncul darinya seperti nasab, aurat, harta pusaka dan sebagainya.

Kedudukan ini jauh berbeza dari cara hidup orang-orang kafir khususnya Barat yang secara umumnya memandang hubungan antara lelaki dan perempuan adalah atas dasar memenuhi kepuasan seks semata-mata. Pergaulan bebas dan cara hidup ala binatang di Barat telah menimbulkan pelbagai fenomena yang menjijikkan. Perzinaan dan anak luar nikah terjadi di mana-mana. Bersekedudukan tanpa kahwin sudah menjadi lumrah, malah jauh lebih keji dari itu, perkahwinan sama jenis dibenarkan. Hubungan seks sesama jenis (gay dan lesbian) adalah perkara biasa. Apa yang berlaku ini amat jijik sekali kerana di kandang binatang sekalipun kita tidak pernah menyaksikan kejadian seumpama ini (binatang pun tahu memilih jantina mereka). Segala kejijikan yang berlaku di Barat ini adalah hasil dari cara berfikir mereka mengenai kehidupan yang ditentukan sendiri oleh mereka tanpa adanya campurtangan dari agama. Oleh itu, mereka bebas melakukan apa sahaja. Terdapat kes yang dilaporkan di mana pasangan lesbian yang mahu mendapatkan anak telah menggunakan perkhidmatan bank sperma untuk menunaikan hajat mereka dan perkara sebegini bukanlah satu kehairanan lagi di Barat. Kelahiran dari bank sperma itu sendiri di Barat adalah kerana adanya idea kebebasan untuk melakukan apa sahaja. Bagi mereka, tidak ada apa salahnya dengan perkhidmatan yang diberikan oleh bank tersebut.

Wahai kaum Muslimin! Cara berfikir kita tidak sama dengan cara berfikir orang-orang kafir. Jika orang kafir menyelesaikan masalah dengan berfikir mengikut logik dan kebijakan akal mereka semata-mata, kita umat Islam tidak boleh berbuat demikian. Di dalam Islam, jika ada apa-apa masalah atau persengketaan, maka penyelesaiannya hendaklah dikembalikan kepada Allah dan Rasul, bukan dikembalikan kepada akal. Akal hanya diguna untuk memahami hukum Allah dan Rasul, bukan untuk membuat hukum baru atau merubah hukum. Perbezaan di antara cara berfikir kafir dengan cara berfikir Islam amat jelas sekali. Standard/Ukuran kita di dalam menilai sesuatu perkara (yang akan dilakukan) adalah halal dan haram, yakni apakah perkara itu dibenarkan oleh Allah atau ditegahNya. Jika ia halal, maka kita bolehlah melakukannya, manakala jika ia haram, maka kita akan meninggalkannya. Soal halal dan haram bukannya bergantung kepada penentuan akal manusia atau persoalan samada ia mendatangkan manfaat atau tidak. Ia adalah hak Allah semata-mata dan kita hanya diperintah untuk mematuhi apa yang Allah telah tetapkan.

Justeru, di dalam menjawab persoalan tentang bank sperma, maka wajib bagi kita untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dan mengistinbat hukum dari keduanya. Tugas kita bukan untuk menggubal undang-undang atau mencadangkan untuk digubal undang-undang berkenaan perkara ini, tetapi memahami ayat-ayat Allah tentangnya, seterusnya menetapkan hukumnya di dalam Islam. Inilah cara berfikir Islam. Jika mengikut akal manusia, maka segala aspek perlu dibincangkan seperti soal manfaat, moral, kekeluargaan, etika, kesan sosial dan sebagainya. Jika cara berfikir kufur-sekular digunakan, maka perkara ini sudah tentu perlu dibawa berbincang ke Parlimen dan digubal undang-undang tentangnya, seterusnya dibahaskan mengikut akal manusia samada bermanfaat atau tidak, kemudian diluluskan setelah majoriti manusia bersetuju mengenainya. Walhal menurut Islam (berdasarkan nas, bukan akal) jika suatu perkara itu haram, maka semua perkara lain tidak lagi menjadi ukuran, samada bertentangan atau sesuai dengan etika, bermanfaat atau tidak dan sebagainya. Apa yang perlu dilakukan adalah meninggalkan keharaman tersebut dan sekiranya ia tetap dilakukan, maka hukuman (sesuai dengan Islam) wajib dijatuhkan ke atas pelakunya.

Inilah yang sepatutnya menjadi tolok ukur dan sensitiviti umat Islam yakni halal dan haram, bukannya ukuran lain. Umat Islam begitu sensitif jika di dalam makanan mereka terdapat unsur-unsur yang haram seperti lemak babi, alkohol, najis dan sebagainya. Umat Islam tidak akan memakan babi mahupun apa-apa makanan (yang halal) jika bekas tersebut sebelumnya digunakan untuk memakan babi. Begitu juga umat Islam tidak akan minum (walaupun air sejuk) di dalam cawan yang sebelumnya diisi dengan arak. Begitulah sensitif dan jijiknya umat Islam kepada benda-benda haram ini. Kenapa? Kerana yang menjadi ukuran umat Islam adalah halal dan haram! Dan ini adalah ukuran yang benar bagi setiap orang Muslim.

Malangnya, umat Islam hanya memilih perkara-perkara tertentu sahaja di dalam penentuan halal dan haram ini. Umat Islam tidak pernah merasa haram atau jijiknya riba, walaupun ia jelas-jelas haram. Umat Islam tidak pernah sensitif bahawa tidak menutup aurat itu haram, malah seorang perempuan yang tidak bertudung sekalipun tidak akan sanggup memakan babi kerana keharamannya, seolah-olah lupa bahawa perbuatannya yang tidak bertudung juga adalah satu keharaman. Umat Islam juga terlalu ta’sub menonton perlawanan bola sepak dan tidak pernah sensitif bahawa para pemain yang memakai seluar pendek itu adalah satu keharaman. Umat Islam juga tidak pernah merasa haram dan jijiknya berhukum dengan hukum kufur yang ada sekarang, sebagaimana haram dan jijiknya babi untuk dimakan. Umat Islam masih boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan sistem kufur yang menyelubungi mereka seolah-olah ini bukan satu keharaman. Inilah realiti sebahagian dari umat Islam yang hanya sensitif dan tidak sanggup melakukan keharaman pada perkara-perkara tertentu yang dipilihnya sahaja, walhal keharaman lain yang lebih besar dan jelas terpampang di depan mata dibiarkan.

Hukum Syara’ Tentang Bayi Tabung Uji

Di dalam menjawab persoalan tentang bank sperma ini, maka, sebagaimana dijelaskan, tidak boleh tidak kita wajiblah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Kita telah mengetahui realiti (waqi’) berkenaan bank sperma di mana ia adalah satu tempat untuk menyimpan sperma lelaki dan mana-mana wanita yang inginkan sperma tersebut (inginkan kehamilan), maka mereka boleh berbuat demikian dengan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak bank sperma. Terdapat dua hukum yang perlu difahami di sini, pertama, hukum kewujudan bank sperma itu sendiri dan kedua, hukum menggunakan khidmat bank tersebut yakni mendapatkan sperma lelaki untuk disenyawakan dengan sel telur perempuan bagi mewujudkan satu kehamilan.

Insya Allah kami akan membahaskan hukum yang kedua terlebih dahulu kerana inilah yang menjadi tujuan wujudnya bank sperma tersebut, iaitu untuk membolehkan mana-mana perempuan atau pasangan suami isteri yang tidak subur untuk mendapatkan anak. Proses ini bermula dengan individu tertentu pergi ke bank sperma ini untuk membuat pilihan sperma yang mereka kehendaki. Kemudian setelah membeli sperma pilihannya, maka si pembeli (atau perempuan) tadi akan mendapatkan khidmat doktor untuk mengeluarkan sel telur (ovum) nya untuk disenyawakan dengan sel sperma tersebut. Proses persenyawaan akan dilakukan dengan mencantumkan sel sperma tersebut dengan sel telur perempuan di luar rahim iaitu di dalam sebuah tabung uji (test tube). Kemudian telur yang telah disenyawakan itu akan dimasukkan ke dalam rahim perempuan/isteri yang berkenaan supaya proses kehamilan berlaku secara semulajadi.

Sesungguhnya teknik bayi tabung uji (test tube baby) ini telah dipraktikkan sejak sekian lama. Ia biasanya dilakukan oleh pasangan suami-isteri yang gagal mendapatkan anak melalui hubungan seks (sexual intercourse) biasa. Bagi pasangan yang gagal mendapatkan anak, samada kelemahan dari pihak isteri atau suami, maka persenyawaan di luar rahim ini dilakukan sebagai satu salah usaha agar si isteri boleh tetap hamil seperti perempuan-perempuan yang normal dan dapat melahirkan zuriat dengan cara yang semulajadi. Sebenarnya terdapat beberapa sebab kenapa seseorang isteri tidak mengandung setelah melakukan persetubuhan dengan suaminya. Antara lain adalah kerana sperma suami tidak boleh sampai ke rahim isteri semasa air mani dipancutkan. Justeru, proses persenyawaan tidak berlaku secara tabi’i kerana gagalnya sperma sampai ke rahim. Oleh itu, proses persenyawaan di luar rahim (dengan cara tabung uji) antara sel sperma suami dengan sel telur (ovum) isteri merupakan satu usaha perubatan untuk mencantumkan atau memastikan bergabungnya sel sperma suami dengan sel telur isteri. Setelah proses percantuman/persenyawaan dilakukan di luar rahim, maka sel telur yang telah disenyawakan tadi akan dimasukkan ke dalam rahim isteri dengan suatu cara tertentu sehingga terjadilah proses kehamilan secara semulajadi di dalamnya.

Pada kebiasaannya, persenyawaan yang semulajadi akan terjadi di dalam rahim melalui cara yang semulajadi juga (hubungan seksual), sesuai dengan fitrah yang telah ditetapkan Allah untuk manusia. Akan tetapi persenyawaan semulajadi ini kadang-kadang sukar untuk berlaku, misalnya kerana rosak atau tertutupnya saluran fallopio (fallopian tube) yang membawa sel telur ke rahim, serta tidak dapat diatasi dengan cara membukanya atau mengubatinya; atau kerana sel sperma suami lemah dan tidak mampu menjangkau rahim isteri untuk bertemu dengan sel telur, serta tidak dapat diubati dengan cara memperkuat sel sperma tersebut, atau mengusahakan sampainya sel sperma tersebut ke rahim isteri agar bertemu dengan sel telur di sana. Semua ini akan meniadakan kehamilan dan kelahiran dan menghalang suami-isteri untuk mendapat atau memperbanyakkan anak.

Kesulitan tersebut dapat diatasi dengan satu usaha perubatan agar persenyawaan (antara sel sperma suami dengan sel telur isteri) terjadi di luar dari tempat semulajadinya. Walaupun ia berlaku bukan di tempat tabi’inya, tetapi proses tersebut dijalankan di dalam satu wadah yang mempunyai keadaan mirip dengan keadaan semulajadi rahim, lalu sel telur yang telah disenyawakan (zigot) itu diletakkan pada tempatnya yang semulajadi, yakni rahim isteri. Dengan demikian kehamilan secara semulajadi diharapkan dapat terjadi dan selanjutnya bayi akan dapat dilahirkan secara semulajadi. Justeru, adalah jelas bahawa proses ini merupakan usaha perubatan untuk mengatasi kesulitan yang ada. Jadi, menurut syara’ hukum bagi perbuatan ini adalah sama sahaja dengan hukum perubatan iaitu diperbolehkan (mubah/ja’iz). Ini adalah kerana usaha tersebut hanyalah salah satu usaha untuk mewujudkan apa yang disunatkan oleh Islam, iaitu kelahiran dan memperbanyakkan anak, yang merupakan salah satu dari tujuan dasar dari suatu pernikahan. Diriwayatkan dari Anas ra. bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Nikahilah kalian dengan perempuan yang penyayang dan subur kerana sesungguhnya aku akan berbangga di hadapan para Nabi dengan banyaknya jumlah kalian pada hari Kiamat nanti” [HR Ahmad]. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Nikahilah kalian dengan wanita-wanita yang subur kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan (banyaknya) kalian pada hari Kiamat nanti” [HR Ahmad].

Dengan demikian, jika usaha untuk menghasilkan persenyawaan dan kelahiran semulajadi telah dilakukan (oleh pasangan suami isteri) dan ternyata tidak berhasil, maka diperbolehkan untuk mengusahakan terjadinya persenyawaan di luar dari tempat tabi’inya, dengan syarat ovum isteri yang telah disenyawakan dengan sel sperma suami dikembalikan ke tempat asalnya (rahim isteri) agar terjadi proses kehamilan yang normal. Jelas bahawa proses ini dibolehkan oleh Islam kerana ini adalah salah satu bentuk perubatan dan berubat hukumnya sunat (mandub). Di samping itu, proses tersebut dapat mewujudkan apa yang disunatkan oleh Islam, iaitu terjadinya kelahiran dan perbanyakan zuriat. Pada dasarnya usaha untuk mewujudkan proses persenyawaan secara tidak tabi’i ini hendaklah tidak dijalankan kecuali setelah tidak mungkin lagi mengusahakan terjadinya persenyawaan secara tabi’i di dalam rahim isteri, antara sel sperma suami dan sel telur isteri.

Perlu diperhatikan bahawa dalam proses persenyawaan di dalam tabung uji untuk menghasilkan kelahiran tersebut, disyaratkan sel sperma tersebut mestilah milik suami dan sel telur mestilah milik isteri. Dan sel telur isteri yang telah disenyawakan di dalam tabung uji mestilah diletakkan kembali ke dalam rahim isteri. Haram hukumnya jika sel telur isteri yang telah disenyawakan di letakkan ke dalam rahim perempuan lain, iaitu satu keadaan yang dipanggil sebagai ‘ibu tumpang’ (surrogate mother). Begitu pula haram hukumnya bila proses dalam persenyawaan di luar rahim tersebut dilakukan antara sel sperma suami dengan sel telur yang bukan isterinya, meskipun ovum yang telah disenyawakan itu diletakkan di dalam rahim isteri. Demikian pula haram hukumnya bila proses persenyawaan tersebut terjadi antara sel sperma bukan suami dengan sel telur isteri, meskipun ovum yang telah disenyawakan itu nantinya akan diletakkan ke dalam rahim isteri. Ketiga bentuk proses di atas tidak dibenarkan oleh hukum Islam kerana ia akan menimbulkan pencampuradukan dan penghilangan nasab, yang telah diharamkan oleh Islam. Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda ketika turun ayat li’an:

“Siapa sahaja perempuan yang memasukkan suatu kaum, nasab (seseorang) yang bukan dari kalangan kaum itu, maka dia tidak akan mendapat apapun dari Allah dan Allah tidak akan pernah memasukkannya ke dalam syurga. Dan siapa sahaja lelaki yang mengingkari anaknya sendiri padahal dia melihat (kemiripan)nya, maka Allah akan tertutup darinya dan Allah akan menceritakan perbuatannya itu di hadapan orang-orang yang terdahulu dan kemudian (pada hari Kiamat)” [HR Ad Darimi]. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Siapa sahaja yang menghubungkan nasab kepada orang yang bukan ayahnya, atau (seorang hamba) bertuan (taat) kepada selain tuannya, maka dia akan mendapat la’nat dari Allah, para malaikat dan seluruh manusia” [HR Ibnu Majah].

Ketiga bentuk proses di atas mirip dengan kehamilan dan kelahiran melalui perzinaan, namun, di dalam prosesnya tidak terjadi kemasukan penis ke dalam vagina. Oleh kerana itu, lelaki dan perempuan yang menjalani proses tersebut tidak dijatuhi hukuman (had) zina, akan tetapi dijatuhi hukuman ta’zir, yang besar kecilnya diserahkan kepada qadhi. Kita tidak boleh menyamakan kesalahan ini dengan kesalahan zina kerana faktanya memang berbeza. Zina adalah masuknya zakar lelaki ke dalam faraj perempuan yang tidak sah baginya secara suka sama suka. Manakala di dalam proses ini, hal yang sedemikian tidak terjadi. Tambahan lagi, saksi bagi kes zina adalah empat orang lelaki yang adil yang menyaksikan kejadian tersebut dengan jelas ibarat timba masuk ke dalam perigi. Di dalam kes persenyawaan sel ini, keperluan empat saksi tidak terpakai. Walaupun tidak sama dengan zina, tetapi ketiga bentuk proses di atas tetap merupakan satu kesalahan dan dosa dan wajib dijatuhkan hukuman ta’zir kepada pelakunya.

Seterusnya dari segi hukum kewujudan bank sperma itu sendiri, maka hal ini tidaklah dengan sendirinya menjadi satu keharaman, selama mana bank tersebut mematuhi hukum syara’ dari segi operasinya. Ini kerana dari segi hukum, boleh sahaja mana-mana suami menyimpan air mani mereka di dalam bank ini untuk disenyawakan dengan sel telur isterinya apabila keadaan memerlukan (sebagaimana perbincangan di atas). Namun begitu, sperma itu mestilah dihapuskan sebaik sahaja si suami telah meninggal. Sperma tersebut juga mesti dihapuskan jika telah berlaku perceraian (talaq ba’in) di antara suami isteri. Di dalam kedua-dua kes ini (kematian suami dan talaq ba’in), jika (bekas) isteri tetap melakukan proses persenyawaan dan memasukkan sel yang telah disenyawakan itu ke dalam rahimnya, maka dia (termasuk doktor yang mengetahui dan membantu) telah melakukan keharaman dan wajib dikenakan ta’zir. Oleh kerana hal ini (kewujudan bank sperma) adalah satu perbincangan yang menyentuh dasar negara, maka samada ingin mewujudkan atau tidak bank sperma, ini adalah termasuk bidangkuasa Khalifah sebagai Ketua Negara untuk memutuskannya. Oleh kerana kewujudannya adalah mubah, maka boleh saja bagi Khalifah memilih samada untuk mewujudkannya atau tidak. Jika ia tidak diwujudkan sekalipun, bukanlah bermakna Khalifah itu menghalang kewujudan proses bayi tabung uji, cuma yang tidak diwujudkan adalah bank sperma, bukannya proses perubatan melalui bayi tabung uji.

Kesimpulan

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa kita perlu mengambil berat tentang apa yang terjadi di sekeliling kita dan tolok ukur yang wajib kita gunakan adalah halal dan haram. Jangan pula kita hanya sensitif dan benar-benar mengakui keharaman babi, tetapi langsung tidak sensitif dan mengakui keharaman sistem sekular yang ada sekarang. Janganlah kita hanya sensitif dengan bank sperma, tetapi langsung tidak sensitif dengan bank-bank riba yang ada sekarang yang keharamannya jelas lagi nyata. Kita tidak boleh memilih halal dan haram tertentu sahaja untuk diamalkan dengan tidak memperdulikan banyak lagi keharaman lain. Kembalilah kepada halal dan haram sebagaimana yang Allah perintahkan dan janganlah sekali-kali membuat pilihan mengikut kehendak sendiri. Hanya Allah sahajalah satu-satunya Zat yang menentukan halal dan haram dan kita tidak ada pilihan kecuali untuk melakukan segala yang halal dan meninggalkan segala yang haram. Inilah cara berfikir dan beramal yang wajib ada pada umat Islam. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: