MELAKA, 25 Julai (Hrkh) - Persidangan Kedua Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke sebelas kecoh selama 20 minit, gara-gara ketidakpuasan hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Kota Laksamana-DAP), Betty Chew Gek Cheng di mana soalan lisan yang sepatutnya berada di tempat pertama, akhirnya diletakkan pada soalan yang ke-58.
Keadaan Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, bertambah gamat lagi, apabila ADUN (Banda Hilir-DAP), Goh Leong San turut bangun mengambil bahagian kerana tidak berpuashati dengan soalan lisan yang dihantar olehnya, diletakkan pada soalan ke-48.
Menurut Betty, soalan lisan itu adalah mengenai lawatan delegasi Negeri Melaka ke Amerika Latin yang diketuai oleh Ketua Menteri bersama 28 orang.
"Saya ingin tahu berapakah kos yang digunakan, siapa yang ikut dalam rombongan itu dan apakah kaitan serta keperluannya.
"Mereka bertujuan untuk mengelakkan diri dari menjawab soalan saya sebab itu, apabila tiba giliran saya menyoal, Dato' Seri Ali Rustam dengan mudah mengatakan bahawa soalan tersebut telah dijawab sebelum itu, ketika soalan yang diajukan oleh ADUN (Bemban-BN), Dato' Chong Tam On.
Kedua- dua ADUN DAP itu mempertahankan hak mereka yang akhirnya telah diarahkan oleh Speaker DUN, Dato' Mo'min Abdul Aziz supaya duduk.
"Sebelum ini pun soalan-soalan dari ADUN DAP kita terima dan masalah kedudukan soalan sepatutnya tidak perlu timbul dan dibangkitkan dalam dewan.
"Saya akan memaklumkan perkara ini kepada pihak pentadbiran," katanya ketika meleraikan kekecohan tersebut.
Kekecohan kedua-dua ADUN itu, turut menarik minat ADUN (Serkam-BN), Dato' Wira Ahmad Hamzah; ADUN (Gadek- BN), Dato' Abdul Ghafaar Atan dan ADUN (Telok Mas-BN), Dato' Amid Nordin.
Ketiga- tiga wakil rakyat tersebut meminta agar persidangan dewan bermula dan tidak menghiraukan kekecohan yang dibawa oleh kedua- dua pemimpin DAP itu. - mks
Tiada ulasan:
Catat Ulasan