Kisah artis terlibat dengan najis dadah bukan perkara baru lagi. Kes mereka ini ada yang di bawa hingga ke mahkamah contoh seperti penyanyi terkenal, Jamal Abdillah; penyanyi yang top dengan lagu ‘suci dalam debu, Salem dan pelawak dari kumpulan Senario, Yassin. Terbaru, penyanyi diminati ramai, Mawi tiba-tiba namanya terpampang di sebuah akhbar tempatan dengan tajuk ‘Mawi lalok ketagih dadah di Australia’.
Terkedu sebentar terutamanya peminat fanatik Mawi. Sama ada gosip ataupun betul, itulah persoalan yang timbul biarpun empunya badan menafikan berita itu baru-baru ini.
Penyanyi yang dikatakan warak dan pandai mengaji takkan boleh ambil dadah.
Namun betul atau tidak Wallahhuallam. Itu saja yang penulis mampu jawab.
Dan jawapan yang sama penulis jawab apabila Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh mahukan kepastian ketika bersamanya dalam sesi temubual di pejabatnya di Pejabat Agung pada 17 Julai lalu.
Kerut di dahi Ustazah Nuridah dapat penulis tafsirkan betapa beliau juga prihatin mengenai gejala dadah yang tidak habis-habis dikaitkan dengan artis.
Jika sungguh bagai dikata, sayanglah sebab Mawi adalah artis yang pernah mendapat perhatian daripada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, luahnya kepada penulis.
Lalu beliau bersuara, mengapakah artis-artis terkenal khasnya artis lelaki suka abdikan diri dengan dadah?
Apa sebabnya, pelik juga dadah pula yang mereka cari sedangkan mereka sendiri tahu bahaya benda durjana itu.
Agaknya boleh ‘feeling’ habis kut, jawab penulis.
Dalam perkembangan yang sama Perangkaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyebut sebanyak 284 kes penyalahgunaan dadah membabitkan penggiat hiburan tanah air dilaporkan dalam tempoh lima tahun lalu.
Ini menggambarkan pengambilan bahan terlarang seolah-olah menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka.
Lebih membimbangkan, dilaporkan jumlah penagih membabitkan golongan itu sentiasa menunjukkan peningkatan, malah sepanjang empat bulan tahun ini saja, 14 artis tempatan termasuk personaliti televisyen ditahan kerana disyaki mengambil dadah.
Dalam pada itu ada benarnya juga pandangan Ustazah Nuridah bahawa perkara ini jarang berlaku ke atas penyanyi wanita.
Umpamanya Siti Nurhaliza, Sharifah Aini tanpa dadah mereka tersohor dan dikenali.
Lelaki dengan dadah, wanita dengan dadanya
Tetapi di pejabat lain pula jadinya bila penulis bersembang dengan rakan-rakan seperjuangan. Bersilat juga mereka terutamanya rakan-rakan seperjuangan di Jabatan Pengarang, Wan Nordin, Azamin dan Mohd Noor kerana mereka anggap penulis dan Ustazah Nuridah cuba bangkit isu gender biarpun tidak terlintas untuk berniat begitu.
Penulis faham mungkin mereka lelaki. Tercabar agaknya.
Dalam pertahankan dunia lelaki, tiba-tiba mereka berkata, kena ingat kalau artis lelaki ambil dadah artis wanita pula suka tayang dada!
Dalam hal ini penulis tidak bantah, sebab sudah terang lagi bersuluh.
Semua orang letih tengok kebanyakan artis-artis wanita, baik yang dara mahupun bini orang atau nenek orang kalau tak tayang dada tak sah.
Mutakhir ini pun akhbar-akhbar perdana yang banyak sebelum ini merekalah juara mempromosi gambar artis-artis yang terbelah sana terbelah sini, terbonjol sana dan sini sehingga lurah-lurah sulit pun ternampak, mula memperkatakan prihal artis-artis yang tidak bersopan itu.
Alhamdulillah jika apa yang cuba diketengah itu menjadi pedoman kepada artis-artis kita.
Kerana pakaian itu melambang keperibadian. Jika artis yang menjadi idola masyarakat berpakaian ala tarzan, lebih baik tak pakai terus, kata seorang rakan bahawa senang untuk di tempatkan artis-artis ini ke tempat yang selayaknya dengan perbuatan mereka.
Dengan hati yang ikhlas dan jujur, tanpa niat menjatuhkan maruah sesiapa sebagai orang Islam penulis dan orang lain ingin menegur sikap segelintir artis yang suka bergaya terlalu seksi lebih dari orang Barat.
Ini dapat dilihat setiap kali adanya majlis anugerah, karpet merah rata-ratanya artis wanita Melayu dan beragama Islam tanpa segan silu bermegah dengan pakaian seksi melampau.
Malu rasanya kerana ada yang sanggup menayangkan pangkal buah dada, ketiak dan terdedah habis pada bahagian belakang tidak kiralah sama ada baju yang dipakai itu berharga ribuan ringgit.
Hakikatnya badan yang gebu itu mesti ditunjuk pada khalayak.
Jadi sama-sama kita renungkan, kata-kata kawan-kawan penulis bahawa trend artis sekarang, biarpun pun mereka anak Melayu yang dilahir dalam sebuah negara yang akan merayakan 50 tahun merdeka masih dengan dengan dadah dan dadanya. - mks.
Nota: Tulisan ini adalah catatan oleh wartawan yang memprihalkan segala pengalaman yang mereka lalui dalam dunia kewartawanan dan akan dimuatkan dalam ruangan 'Catatan Wartawan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan