KUALA KANGSAR,30 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyatakan beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengistiharkan bahawa Malaysia adalah negara Islam.
"Bagus, kita terima dengan baik. Malaysia sebuah negara Islam!"katanya ketika berceramah di hadapan 5,000 orang di Markas PAS Bukit Chandan dekat sini malam tadi.
"Tetapi negara Malaysia ini harus ada acuan dia!Ada dasar dia, ada objektif dia sendiri dan tujuannya sendiri,"tegas beliau.
Dahulu, katanya, Nabi Muhammad s.a.w. mengajar orang-orang Islam mendirikan negara macam mengajar hendak menikah, seperti mengajar jual-beli dan bersembahayang.
Ini kerana semua amalan Islam, tegasnya, adalah berasaskan dari ajaran al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
"Oleh itu PAS melalui Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di mana kita mengajak umno kerana terlihat benar seperti dia ikhlas benar hendak tegakkan negara Islam, mari kita bermuzakarah.
"Dari itu,mari kita adakan muzakarah antara pemimpin PAS dengan umno. Kerana PAS ada Majlis Syura dan Umno ada Biro Agama. Serta kerajaan Umno ada mufti-mufti. Mari kita adakan muzakarah apa dia bentuk negara Islam yang sebenar seperti yang ditentukan oleh dalam al-Quran dan hadis-hadis,"jelasnya.
Dari itu, katanya, pemimpin Umno janganlah bercakap tentang Islam dan menipu serta menganiaya rakyat.
"Kalau sungguh-sungguh, mari kita bincang. Tapi hingga kini tidak ada jawapan! Macam dulu juga.Kalau tidak ada jawapan itu maknanya menipu,"tegasnya.
Penjajah bawa ajaran Injil dalam negara
Sementara itu, Abdul Hadi ketika berceramah di Kangar menjelaskan, "baginda s.a.w. telah mengajar bagaimana untuk memerintah negara mengikut Islam apabila berhijrah ke Madinah untuk menjelaskan bahawa orang Islam wajib berpolitik."
Katanya lagi, punca umat Islam dipermain-mainkan dan menjadi umat yang hina kerana mereka tidak mengambil kisah berkenaan politik dan kerana itulah hari ini sukar untuk PAS membawa politik Islam.
"Rakyat telah diajar dengan dengan sedemikian oleh penjajah dan kini oleh pemerintah yang ada meneruskan dasar yang dibawa oleh penjajah.
"Ajaran yang kata politik tak ada kena mengena dengan agama adalah ajaran kitab Injil Matthew yang dibawa masuk oleh penjajah barat ke negara ini dan rakyat di negara ini telah terpengaruh," jelasnya.
Beliau turut menolak tanggapan yang mengatakan siapa sahaja yang memerintah adalah sama kerana wakil rakyat masing-masing mencari rezeki.
"Ada yang kata, yang jadi wakil rakyat nak makan gaji, cari duit. Memang semua manusia cari duit, Nabi pun cari nafkah, cari rezeki tapi dalam masa yang sama baginda mengajar umat Islam berpolitik, mengajar cara perintah negara.
"Dalam Piagam Madinah menyebut dan apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan di kalangan semua pihak yang terlibat dalam perjanjian ini yg dibimbangi boleh merosakkan perjanjian ini maka hendaklah dirujuk kepada Allah (Al-Quran) dan Nabi s.a.w.
"Ini rukun penting dalam politik dan pemerintahan yang Nabi ajar, negara tidak sah kalau tak ada benda ini," jelasnya lagi.
Umno ranapkan Jawi, dirikan kilang arak
Tambahnya, selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, semakin hari semakin banyak penyakit yang lebih parah telah diwarisi dari orang putih yang memerintah dahulu.
"Selepas orang putih balik dan bagi merdeka, Umno yang ambil-alih meneruskan pemerintahan mengikut apa yang orang putih ajar dan lebih teruk lagi.
"Dulu masa orang putih tulisan jawi ada, masa Umno ranap tulisan jawi. Dulu ada judi, bila orang putih balik judi lama kekal, kini ada loteri dan ditambah lagi. Dulu arak ada masa, bila orang putih balik dibuat pula kilang arak," selarnya.
Menyentuh tentang PAS yang memasuki sistem demokrasi berpilihan raya, Abdul Hadi melihat kepentingan mendapatkan kuasa yang ada sebagaimana juga yang disyariatkan oleh Al-Quran.
"Dengan adanya kuasa dapatlah kita melaksanakan syariat Islam. Untuk membuat hukum Islam walaupun disebut dalam Al-Quran tak boleh dibuat sendiri.
"Tak boleh kita tangkap orang mencuri dan dikerat tangannya. Cara Nabi ajar mesti ada mahkamah, nak ada mahkamah kena ada kerajaan. Maka wajib orang Islam mendirikan kerajaan yang memerintah," tegasnya.
Jadi, katanya dalam dunia yang mengamalkan demokrasi, maka PAS melantik calon-calon di kawasan-kawasan piihan raya dan mengajak rakyat mengundi calon PAS untuk membolehkan perlaksanaan syariat Allah seperti yang terkandung dalam AL-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
"Tapi oleh kerana orang Melayu diajar politik tak ada dalam Islam, mereka jadikan pilihan raya untuk ambil upah tampal poster, untuk dapat upah berkempen, dapat kebendaan. Mereka tak fikir pilihan raya untuk dirikan kerajaan.
"Tapi di negeri lain, pilihan raya adalah mahkamah rakyat. Rakyat boleh hukum parti memerintah yang buat silap," jelasnya.
Katanya, di negara ini keadaan sedemikian tidak berlaku kerana parti memerintah mahu kekal selamanya kerana adalah parti yang tidak bertangungjawab.
"Mereka anggap jadi pemerintah boleh duit banyak, boleh bagi duit pada suku-sakat, bukan untuk menunaikan amanah yang diperintah oleh Allah SWT.
"Maka rakyat yang tidak faham memilih parti yang boleh bagi duit, bukan memilih parti yang hendak menegakkan AL-Quran dan AS-Sunnah," katanya lagi. - - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan