PENGKALAN CHEPA, 13 Jun (Hrkh) – Kemerosotan undi PAS pada pilihan raya umum lalu tidak bermakna pengaruh kerajaan negeri juga merudum, sebaliknya ia menjadi titik tolak bagi merangka pelbagai program mendekatkan lagi hubungan dengan rakyat.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]-->
Malah, program yang dijalankan di sini tidak kedengaran diadakan di negeri-negeri lain. Antaranya Cakno Keluarga, Kem Bulan Madu untuk pasangan baru kahwin, dan terbaru Cakno Anak Muda.
Cakno keluarga yang diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh Kelantan sejak tiga tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan. Pelbagai program diadakan termasuk sukaneka, gotong royong dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Cakno Anak Muda pula mulai diadakan tahun ini bertujuan membentuk keperibadian golongan muda dengan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan harian.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kejayaan menganjurkan program Cakno Keluarga tiga tahun lalu mendorong kerajaan melaksanakan program Cakno Anak Muda khusus bagi remaja.
“Melalui program ini kita berharap akan menjadi satu medan latihan kepada remaja untuk mendekatkan diri dengan kerja-kerja amal serta memupuk semangat bergotong royong,” katanya ketika merasmikan program Cakno Anak Muda Dun Panchor di Kampung Gelong Machang dekat sini, baru-baru ini.
Program Cakno Anak Muda berkonsepkan remaja dari sesebuah Dun menjadi anak angkat kepada keluarga di Dun lain. Bagi program tersebut anak angkat dari Dun Pengkalan Kubur tinggal bersama anak angkat di Dun Panchor.
Program itu bertujuan merapatkan hubungan silatulrahim di kalangan masyarakat dan membolehkan anak muda dari Dun lain mengenali masyarakat kampung keluarga angkatnya.
Pengarah program berkenaan, Ustaz Roslan Mohd Noor berkata, program itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada remaja menngenai agama ketika tinggal bersama keluarga angkat.
“Selain itu bagi menyemai dan memupuk rasa cinta kepada Islam dan cara hidup Islam, menggerakkan kesedaran kepada masyarakat setempat akan kepentingan beribadat secara berjemaah di masjid dan surau-surau,” ujarnya.
Pada majlis itu seramai 41 remaja diserah kepada 20 keluarga angkat yang terpilih di tiga kampung iaitu Kampung Gelong Machang, Telaga Bata dan Chicha Menyambong.
Mereka tinggal selama tiga hari dua malam bersama keluarga angkat. Pelbagai program diadakan antaranya gotong royong membersih madrasah dan tanah perkuburan, menghidupkan surau-surau dan madrasah, sukaneka dan khidmat kesihatan percuma.
Program kemasyarakatan turut digerakkan melalui aktiviti ziarah secara berkumpulan ke atas warga emas, orang sakit dan penduduk miskin.
Program motivasi armalah, penerangan mengenai peluang belajar di institusi pengajian tinggi, motivasi remaja dan penerangan skim Takaful Kifaalah turut diadakan.
Program Cakno Anak Muda dianjur Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan