Followers

Selasa, 17 September 2013

Tahalluf Siyasi Tingkat Kerjasama PR

Keputusan mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain bukan sahaja tidak merugikan malah meningkatkan sokongan kepada PAS, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Dengan mengambil kira kejayaan tersebut, beliau menyokong penuh pendirian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu memperkuatkan lagi pakatan politik di dalam Pakatan Rakyat.

Sambil menyifatkan pendirian kedua-dua mereka sebagai pendirian yang jelas, Mahfuz berkata, sejak tahun 1990 lagi, di mana kerjasama PAS dengan Semangat 46 berjaya mengambil alih pemerintahan Kelantan dari Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan PAS mengadakan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan parti-parti lain lebih banyak menguntungkan PAS.


"Kalau neraca untung rugi yang mahu digunakan, amat jelas tahaluf siyasi menguntungkan perjuangan PAS seperti yang dihuraikan oleh kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai perkara itu sebelum ini.

"Malah, dalam pilihan raya lalu pun, melalui sikap pro-perpaduan yang ditunjukkan oleh PAS, sama ada perpaduan antara kaum atau perpaduan antara parti, jangan dilupakan aspek positif yang diperolehi dalam pilihan raya tersebut di mana PAS berjaya meningkat penguasaannya di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di mana kita memperolehi 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

PAS, katanya, berjaya meningkatkan kerusi Dun di Selangor, Terengganu dan Johor serta mendapat kerusi sulung di Dun Melaka."Memang diakui kita kehilangan negeri Kedah, tetapi ia tidak ada kaitan dengan tahaluf siyasi," katanya.

Mahfuz yakin, rakyat sedar bahawa kejayaan Umno dan parti-parti lain di dalam Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan dan MIC mendapat undi orang-orang Melayu adalah disebabkan kejayaan menakutkan-nakutkan mereka dengan mengapi-apikan perkauman.

"Perkara itu diakui sendiri oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang menyatakan Umno dan BN menang bukan kerana kuat, tetapi kerana ketakutan Melayu," katanya.Ketika Umno menakut-nakutkan orang-orang Melayu, katanya, Pakatan pula tetap dengan pendirian tidak mahu mengapi-apikan isu perkauman sebaliknya lebih menonjolkan isu-isu yang berkaitan dengan kesejahteraan ekonomi, kesejahteraan umum rakyat serta perpaduan antara kaum.

"Keengganan kita mengapi-apikan perkauman untuk mendapatkan undi bukan satu kegagalan, malah ia satu kejayaan."Adalah silap besar untuk menyatakan PAS mengalami kegagalan disebabkan ketegasan kita tidak mahu mengapi-apikan sentimen perkauman untuk mendapatkan undi seperti yang dilakukan oleh Umno," kata Mahfuz.

Mengulas cadangan untuk mengkaji kedudukan PAS di dalam Pakatan, Mursyidul Am dalam kenyataannya Ahad lalu menegaskan: "Kaji hanya untuk penambahbaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang."Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan".

Tiada ulasan: