Followers

Selasa, 9 Oktober 2007

Perkampungan Artis: Ali Rustam nafi hak rakyat

ALOR GAJAH, 9 Okt (Hrkh) - Tindakan Ali Rustam melalui Yayasan Negeri Melaka menawarkan 130 ekar tanah untuk dibangunkan sebagai Perkampungan Artis boleh diibaratkan 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.

Sepatutnya kerajaan negeri merancang penggunaan tanah secara bijak memandangkan keluasannya yang terhad dan mengkaji kesannya dari pelbagai aspek sosial, budaya atau moral bagi jangka masa panjang akibat gejala memuja hiburan melampau khususnya kepada golongan muda.
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail, tindakan tersebut bercanggah dengan Islam sedangkan masih ramai rakyat yang lebih memerlukan tanah dinafikan hak mereka dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Selain itu katanya,"Tindakan itu akan menggalakkan dan menyuburkan kemungkaran dan masiat yang sememangnya budaya kebanyakan artis".
"Ianya juga menggambarkan mentaliti pemimpin yang suka berhibur dan tidak prihatin dengan jenayah, akhlak dan moral rakyat yang semakin hari semakin merudum.
"Sepatutnya pemimpin lebih peka dan bersikap sensitif kerana antara yang menyumbang maksiat ialah golongan artis barat dan tanah air yang gagal menjadi contoh kepada masyarakat," kata beliau.
Beliau menambah, "Kerajaan menggalakkan pemujaan artis dan peniruan cara hidup barat yang jelas terpesong dari Islam serta mewujudkan satu aktiviti kurang bermoral".
Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam berkata, projek pembangunan hartanah terbaru oleh Kerajaan Negeri Melaka yang dinamakan Melaka Indah itu membabitkan keluasan berjumlah 130 ekar.
"Selain perkampungan tersusun, kita juga akan membina studio penggambaran, pentas untuk membuat persembahan dan kemudahan perfileman bersesuaian dengan matlamat kita untuk menjadikannya sebagai Perkampungan Artis," katanya.
Mohd Ali berkata, kewujudan Perkampungan Artis nanti akan memberikan nilai tambah terhadap pembangunan Melaka Indah yang seterusnya menjadi tarikan pelancongan terbaru di negeri itu.

Tiada ulasan: