Followers

Selasa, 30 Oktober 2007

Aurat wanita 'dera' emosi kaum lelaki - Nik Aziz


KOTA BHARU, 30 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata aurat kaum wanita yang terdedah secara meluas adalah suatu 'penderaan emosi' yang jarang dibincangkan dalam mana-mana perbincangan akademik.
Tambah beliau, perbincangan tentang penindasan tidak boleh dilihat daripada bentuk penderaan fizikal semata-mata.


"Lazimnya, kita selalu melihat kes penderaan kanak-kanak dan isteri dalam rumah tangga yang mudah kelihatan oleh mata, tapi penderaan emosi ke atas kaum lelaki tidak dilihat. "Solat tidak khusyuk malah tidur kita juga kerap terganggu. Jadi, inilah penderaan emosi ke atas kaum lelaki, tapi tidak ramai dibincangkan dalam bentuk intelektual,"kata beliau dalam persidangan Skima di sini anjuran pertubuhan NGO-NGO Muslim baru-baru ini.
Tambah beliau, melalui kuasa politik yang dicapai oleh PAS Kelantan, maka kerajaan di bawah pimpinannya berusaha menerapkan beberapa nilai Islam semampu mungkin.
"Dalam pelaksanan sistem Islam, Kerajaan Kelantan cukup menekan dalam segala aspek. bermula dari pembinaan infrastruktur sehinggalah kepada hal penjagaan aurat.
"Kita perlu faham bahawa kita berada di bumi Islam, makanya sistem Islam itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh," kata beliau.
Menurut beliau, sikap enggan melaksanakan pemerintahan Islam bermula daripada sikap manusia pemimpin yang tidak reda, tidak rela atau berpuas hati menjadi seorang Muslim.
"Secara tidak sedar mereka sebenarnya memang tidak berpuas hati dengan hukum Allah. Mereka tak sedar nikmat bernafas, makan, minum dan mereka hidup di atas di bumi-Nya, tapi tidak mahu mengikut suruhan Allah.
"Ini menandakan mereka tidak reda dengan Allah, tapi mereka ingat selama ini mereka telah reda. Kalau mereka reda, ertinya mereka akan guna hukum-hukum Allah ini.
"Kita selalu menyebut, aku reda Allah sebagai Tuhanku, dan Islam sebagai ad-Deen dan Muhammad sebagai nabi dan rasul, tetapi sejauhmanakah penghayatan ke atas lafaz itu?" tambah beliau lagi.
Menurutnya, perbincangan mengenai aspek pemurnian dalam institusi kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, siasah dan sosial tidak terpisah dengan dosa, pahala, syurga, neraka dan alam akhirat.
"Kalau kita ingat ini semua, maka setiap langkah pentadbiran kita akan menjurus kepada keharmonian hidup bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
Nik Abdul Aziz sebelum itu tidak dapat memberi ucapan pada malam sebelumnya kerana sedikit keuzuran akibat 'salah bantal'. Beliau bagaimanapun akhirnya dapat bersama para peserta keesokannya bagi menggantikan ucapan beliau yang tertunda.
"Saya sebenarnya dah tiba semalam, minum bersama semua. Tetapi, kerana sakit akibat 'salah bantal', akhirnya saya terpaksa minta diri untuk pulang. Jadi, saya mohon maaf.
"Ini pun penyakit kita juga. Suka salahkan orang lain. Kita sendiri yang salah letak bantal hingga leher sakit, tapi bantal pula yang dipersalahkan," katanya diiringi ketawa hadirin. - mks.

Tiada ulasan: