Followers

Rabu, 27 Mei 2009

SANG KATAK DAN KOTAK-KOTAKNYA

Awal malam tadi mungkin ramai yang tertunggu-tunggu rancangan Hujah di TV9 yang bakal menampilkan calon Timbalan Presiden PAS iaitu YB Husam Musa dengan Menteri Pertahanan iaitu YB Zahid Hamidi yang juga bekas anak didik DS Anwar.

Saya terlalu yakin bahawa Zahid Hamidi pasti akan muncul dalam rancangan tersebut kerana beliau dikenali di dalam Umno sebagai tokoh politik yang berani, pandai berpidato serta kelihatan `bersih' keperibadiannya. Apatah lagi, topik yang akan dibincangkan adalah berkenaan dengan politik wang, masakan Zahid mahu mengelak diri dari memperkatakan topik tersebut kerana beliau sendiri pernah menyatakan Umno teramat serius untuk membenteras politik wang.

Sudah tentu bukan sahaja penyokong-penyokong pembangkang yang ingin melihat kehebatan Husam Musa di dalam mengulas isu ini, tetapi saya percaya ramai di kalangan ahli-ahli Umno dan Bn yang ingin mendengar bagaimana formula Zahid untuk menghapuskan politik wang yang sudah sebati dengan Umno ketika ini.

Malang sekali, Menteri Pertahanan yang sepatutnya mempunyai jiwa keberanian umpama tentera, disaat-saat akhir menarik diri dari menyertai rancangan tersebut. Saya rasa semacam sudah menjadi `badi' pula buat Zahid dengan penarikan diri Umno untuk bertanding di dalam PRK Dun Penanti hinggakan terpaksa menarik diri dalam rancangan yang sudah diatur ini. Saya tidak ingin mengatakan Zahid pengecut, tetapi kalau ada yang berkata demikian sukar untuk saya menepisnya. Saya juga tidak tergamak menuduh Umno pengecut di Dun Penanti, tetapi jika ada yang beranggapan demikian mungkin saya terpaksa bersetuju. Pada anggapan ahli-ahli Umno, parti mereka adalah parti yang kuat dan gagah serta pantang dicabar, oleh yang demikan wajar Umno tarik diri dari bertanding di PRK Dun Penanti. Kelakar tapi tidak pelik juga.

Memandangkan rancangan Hujah TV9 telah diatur, maka terpaksa dibawa masuk Raja Sesumpah yang terlalu banyak jasanya kepada Umno itu. Atas kapasiti apa Raja Sesumpah itu dipanggil? Ketua Cawangan Umno? Ketua Pemuda Cawangan Umno? AJK Bahagian Umno atau Ahli MKT Umno ?

Menteri atau Timbalan Menteri jauh sekali. Topik yang hendak dibincangkan adalah melibatkan dasar parti dan kerajaan, maka pelik juga mengapa sebarangan orang dibawa untuk mengulas isu tersebut? Apakah rancangan tersebut bertujuan untuk memperkecilkan Umno? Pada hemat saya, tindakan Husam Musa yang menangguhkan dahulu penyertaan beliau di dalam rancangan tersebut tepat sekali. Biar buku bertemu ruas, dan Husam akan membuang banyak masa melayani Raja Sesumpah yang mempunyai ` lidah bercabang' itu. Raja Sesumpah yang tiada jawatan di dalam Umno itu hanya sesuai berbicara atau bertegang urat di warung-warung kopi sambil kena teh tarik sahaja.

Saya berharap di lain masa, TV9 akan dapat mempertemukan tokoh-tokoh yang hebat di dalam rancangan tersebut. Penonton tidak mahu melihat pencacai-pencacai yang tidak ketahuan berbicara di dalam rancangan berbentuk ilmiah tersebut. Kita masih menunggu bilakah masanya TV9 akan mempertemukan dua tokoh iaitu Najib dan DS Anwar. Mungkin harapan kita ini seperti mengharapkan `kucing bertanduk'. Tetapi, ianya tidak mustahil berlaku sepertimana kita tidak pernah menjangkakan Speaker Dewan boleh `diragut' dan diheret keluar dari Dewan. Tiada yang mustahil di bawah PMR (Perdana Menteri Rakyat).

SUMBER: Al-banjari

PPSMI DAN UMNO

Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika isu Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) digarap dengan baik.Ini kerana, isu PPSMI bukan menjadi isu politik tetapi demi masa depan bahasa dan bangsa Melayu di negara ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata demikian pada satu majlis di Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, di Kampung Tok Jiring, baru-baru ini.

Katanya, penentangan terhadap rancangan PPSMI turut dilakukan oleh tokoh-tokoh Sasterawan Negara, Budayawan, ahli akademik dan lain-lain."Dalam isu PPSMI ini kita (PAS) yakin dan percaya Umno dan kerajaan Barisan Nasional boleh tumbang dalam pilihan raya akan datang."Semua pihak termasuk Sasterawan Negara, Budayawan, tokoh akademik dan pensyarah Universiti menentang pelaksanaan PPSMI itu,"ujarnya.

Menurutnya, PPSMI merugikan masa depan anak-anak Melayu yang wajar ditentang oleh semua pihak.Justeru itu, katanya kempen penerangan serta penjelasan terhadap isu PPSMI itu diteruskan melalui beberapa pendekatan.Kata Ustaz Azman, antara tokoh terbabit seperti Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, Prof Muhammad Haji Salleh, Dato' Nordin Hassan, Dato' Abdullah Hussain, Dato' Prof Emiritus Shahnon Ahmad dan ramai lagi.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Terengganu berkata golongan muda yang terpelajar kini menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.Menurutnya, PAS kini mendapat sokongan orang muda yang mempunyai minda terbuka serta boleh menilai prestasi Umno-BN.

"PAS dapat sokongan orang muda sekarang dan golongan muda bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat menolak Umno-BN,"tegasnya.Katanya, bukti sokongan golongan muda terhadap PAS dan Pakatan Rakyat melalui beberapa pilihan raya kecil selepas PRU ke-12 lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut Juara Akademi Nasyid TV9, Saudara Azhan Atan yang turut membuat persembahan hiburan alternatif selama satu jam di MTT tersebut.

UST NASARUDDIN TANTAWI KETUA PEMUDA PAS YANG BARU

Tiga jawatan utama Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyaksikan masing-masing calon menang tanpa bertanding.Dengan ini, Ustaz Nasruddin Tantawi dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS yang sah manakala jawatan timbalannya disandang oleh Azman Safawi dan Naib Ketua Pemudanya ialah Sabki Yusof.

Selain itu, calon-calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS ialah seramai lima orang iaitu Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Mujahid Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.

Lain-lain keputusan rasmi menyusul kemudian.tahniah kepada ust nasaruddin tantawi daripada Dewan Pemuda Pas Cawangan Serkam Darat

sumber: Harakahdaily

Isnin, 25 Mei 2009

ULAMA PERLU BUAT PERUBAHAN

Gagasan "Kepimpinan Ulama" yang dimulakan sejak tahun 1982 berjaya meletakkan PAS ke tahap sekarang namun di waktu yang sama perubahan ke arah kepimpinan yang lebih baik dan mantap adalah perlu.Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Dato' Husin Awang berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Terengganu ke-44, di Dewan Darul Bayan Pinang Merah, Paka, Dungun, baru-baru ini.

"Kita (Dewan Ulama) juga mengharapkan perubahan dalam kepimpinan ini ke arah yang lebih agresif, maju dan mantap," tegasnya.

Katanya, ulama dan profesional bukan lagi menjadi isu dalam kepimpinan PAS kerana golongan ulama yang profesional boleh memimpin masyarakat serta mentadbir urus negeri dengan baik.

Kata Dato' Husin lagi, kepimpinan ulama wajar memimpin parti dan masyarakat bagi mengekang bencana akidah dan politik yang semakin membarah.

"Ulama harus memimpin masyarakat kerana golongan ini menjadi pengawal kepada agama, menegakkan yang hak dan mencegah kemungkaran," ujarnya.

Tambahnya, iklim politik negara semakin berubah dari tahun ke tahun dan memerlukan pendekatan serta interaksi yang menyakinkan rakyat.

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS negeri itu telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohammad Daud Iraqi. - mks._



Sabtu, 23 Mei 2009

MENTERI WP BUAT MALU JE

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PAS, Dr. Lo'lo Mohamad Ghazali mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengeluarkan kenyataan berunsur "menghina" kaum wanita terhadap beliau semalam.

Justeru, Ahli Parlimen Titiwangsa itu mahu Raja Nong Chik memohon maaf secara terbuka walaupun beliau ada mengatakan "maafkan saya".

"Saya merakamkan kekesalan saya atas sikap Menteri Wilayah Persekutuan Senator Datuk Raja Nong Chik yang sangat tidak menghormati Ahli Parlimen, malah biadap terhadap wanita," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Dr. Lo'lo berkata, Raja Nong Chik telah mengatakan bahawa "I turun everywhere takkan nak bagi tau you semua. Ni saya nak pergi tandas, takkan nak bagi tau you, you nak ikut ke?"

"Kata-kata seperti ini sangat tidak layak dikeluarkan oleh seorang menteri apatah lagi menteri yang baru dilantik," katanya.

"Sebagai seorang wanita yang terhormat, seorang wanita Islam yang menjaga sahsiah diri, saya merasa terhina dan tidak dapat menerima kata-kata tersebut keluar dari mulut seorang menteri, lebih-lebih lagi saya seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat," katanya.

Menjelaskan insiden itu, Dr. Lo'lo berkata, Raja Nong Chik mengeluarkan kata-kata itu apabila beliau mengkritiknya kerana tidak memaklumkan "lawatan mengejut" ke Keramat Mall, Kg. Dato' Keramat petang semalam.

Katanya, selain membawa isu tersebut ke Parlimen beliau juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengenainya.

"Ada ramai rakan-rakan yang berpendapat ini satu bentuk gangguan seksual walaupun tidak berapa jelas tujuan dan maksud kata-kata tersebut dikeluarkan," katanya.

Ketika ditanya mengapa membawa isu berkenaan hari ini sedangkan Raja Nong Chik telah pun "memohon maaf" petang semalam, Dr. Lo'lo memberitahu, beliau mahu menteri memohon maaf dengan diketahui semua kerana ketika kenyataan tersebut ada ramai pihak di sekelilingnya.

Kata Dr. Lo'lo, beliau hanya mengatakan "maafkan saya" kepadanya yang sama sekali tidak didengar pihak lain.

Jumaat, 22 Mei 2009

LARANGAN ALQURAN BERKENAAN SELSEMA BABI

Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan mempunyai sebab yang kuat demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana.

Pengharaman memakan daging babi di dalam surah al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah, ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh manusia.

"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan virus yang ada padanya kepada virus yang lebih merbahaya seperti selsema babi. Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya.

Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish Flu".

"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918," katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa bahaya.

"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak secara luas dan tanpa sempadan.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan. Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah, menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam al-Quran," katanya

Isnin, 18 Mei 2009

DACS BILA NAK MULA ??

Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menjadikan sukan sebagai medium dakwah bagi menarik belia menyertai kegiatan keagamaan anjuran pelbagai agensi berkaitan agama berikutan kekurangan penyertaan golongan itu dalam program berkenaan sebelum ini.

Menterinya, Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata kegiatan keagamaan anjuran agensi berkaitan agama kurang mendapat sambutan belia seolah-olah wujud penghalang untuk mereka menyertainya.

Beliau berkata, masalah itu berpunca daripada anggapan belia bahawa program keagamaan hanya tertumpu kepada Kelas Fardu Ain dan kifayah, ceramah agama dan qiamullail.

"Melalui program sukan, lebih ramai belia menyertai kegiatan agama anjuran jabatan dan agensi kerajaan. Ini memudahkan pendakwah mendampingi mereka.

"Jika remaja boleh berjaga awal pagi untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak, kita boleh praktikkan dakwah kepada mereka supaya mengambil air sembahyang walaupun tidak solat sunat.

"Berwuduk pun menerima pahala. Saya percaya perlahan-lahan mereka akan bersolat sunat sebelum menonton bola," katanya pada sidang media selepas menutup Liga Sukan Agensi Agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam.

Sebanyak 12 kontinjen mengambil bahagian dalam liga berkenaan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) muncul juara keseluruhan.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir berkata, pakaian menutup aurat bukan penghalang untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan sukan seperti yang dibuktikan pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah selepas memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

TOLAK CALON AMAL POLITIK WANG

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu perwakilan parti itu menolak mana-mana pemimpin yang memberi sogokan, termasuk wang kepada mereka, dalam usaha meraih sokongan pada Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.

Beliau yang masih kesal kerana tindakannya bertanding melawan ulama Pas, Husin Rahimi, sebagai Ketua Dewan Ulama sekitar 1960-an berkata, mana-mana pemimpin Pas yang memberi sogokan untuk mendapatkan undi perlu diberi pengajaran dan mereka tidak layak diberi tempat dalam barisan kepemimpinan parti itu.

“Boleh jadi ada sungguh (politik sogokan dalam Pas). Kalau ada (gejala sogokan), saya sangat dukacita kerana Pas adalah wadah kita memperjuangkan Islam yang mengharamkan rasuah.

“Saya cukup setuju perwakilan tolak mana-mana pemimpin yang amalkan politik sogokan. Duitnya kita ambil, tetapi jangan undi orang macam ini, biar dia akhirnya merasa perit, bodoh dan tertipu. Jangan beri peluang kepada orang yang macam ini dalam kepemimpinan Pas, dia berjangkit dan membawa penyakit (daripada parti lawan).

“Selama ini, Pas berjaya menyelamatkan kalbu manusia (khusus pemimpinnya) daripada menerima rasuah meskipun ditawar wang berjuta. Mereka menolak sogokan bukan kerana takutkan polis atau pencegah rasuah tetapi kerana takwa kepada Allah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, memberitahu demikian selepas menyerahkan tajaan kerajaan Kelantan berjumlah RM50,000 kepada sekumpulan pendaki negeri ini yang dijadualkan menakluk kemuncak tertinggi di dunia, Gunung Everest, dalam ekspedisi akhir bulan ini.

Nik Abdul Aziz menyuarakan gesaan itu ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud, yang mendakwa politik sogokan kebendaan kini mula menular dalam Pas ekoran proses pencalonan dan pemilihan yang berlangsung dalam parti.

Beliau mengingatkan perwakilan Pas ke muktamar pemilihan tidak terpedaya hingga menjadikan diri mereka abdi kepada duit atau hadiah yang ditawarkan oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz menyokong langkah Dewan Harian Pas memanggil Ketua Dewan Ulama terbabit memberi penjelasan terhadap dakwaan itu.

“Kalau dakwaan itu tidak benar, saya setuju beliau dikenakan tindakan kerana kalau nak sebut depan ramai (pendedahan umum) mesti ada fakta kerana tanpa fakta ia menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat,” katanya.



“Malah jika mempunyai fakta sekali pun, lebih baik kita bersemuka pihak terbabit dan memberi nasihat. Tak usah disebarkan benda ini (dakwaan) kepada masyarakat kerana dalam Islam tidak digalakkan menyebarkan benda tidak baik,” katanya.



Mengulas kemenangan tanpa bertanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjelang muktamar kali ini, Nik Abdul Aziz berkata, beliau bersyukur terhadap kejayaan Abdul Hadi yang terus diyakini perwakilan akar umbi walau pun ada desakan dan terjahan pihak tertentu supaya pucuk pimpinannya ditukar.

"Perwakilan Pas tahu keupayaan Tok Guru Haji Hadi, beliau sering membawa suara Islam dan Pas ke pentas dunia, sesuatu yang sukar dicari ganti. Justeru, selagi beliau sihat, kita akan terus terima kepemimpinannya. Kalau ada tersalah silap sikit, kita pakat-pakat tegur dan nasihat.

"Saya sendiri pun begitulah, saya sangat suka orang memberi teguran dengan syarat mempunyai fakta. Teguran tanpa fakta, sukar untuk saya terima," katanya yang mengakui dari awal lagi menolak daripada menerima sebarang pencalonan mencabar Abdul Hadi bagi jawatan Presiden Pas.

"Bagi diri saya, sampai kini masih rasa terkilan kerana melawan Husin. Saya terkilan hingga hari ini, kenapa melawan tok guru. Sebab itu saya serik dan perit untuk melawan sebarang jawatan dalam Pas, kalau dengan Umno, sampai bila-bila pun tak apa," katanya