Followers

Khamis, 26 Februari 2009

TLDM ketinggalan zaman

Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Sri Inderapura merupakan sebuah kapal perang 'second-hand' milik Amerika Syarikat yang telah diguna selama 25 tahun oleh negara tersebut. Dato' Wira Abu Seman Yusop (BN-Masjid Tanah) memberitahu bahawa kapal tersebut telah digunakan oleh TLDM semenjak 16 Disember 1994 dengan harga pembelian berjumlah RM53 juta.

"Kos membaik pulih pula berjumlah RM54.4 juta yang dilakukan di Limbungan di Johor pada 2 Februari 2000," katanya ketika menjawab soalan Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pagi tadi di Dewan Rakyat.

Sebelum mengungkap soalan tambahan Ustaz Nasharudin juga memberitahu bahawa kapal yang siap dibina pada 7 Februari 1970 di National Steel & Ship Buliding di San Diego, California dilancarkan pada 7 November 1970 atas nama USS Button Buck County LST 1192 dan dibeli oleh Kementerian Pertahanan di bawah satu program dikenali sebagai' Security Assistant Program' "Apakah lain-lain perjanjian persefahaman di bawah 'Security Assistant Program' bersama Amerika Syarikat ini.

"Dan adakah adakah pembelian persenjataan daripada Amerika ini akan diteruskan di sebalik apa yang berlaku dalam dunia politik antarabangsa dalam keadaan sikap dan keadaan yang ditunjukkan oleh Amerika terhadap insiden-insiden yang berlaku?" tanya Ustaz Nasharudin yang juga Timbalan Presiden PAS itu.

Namun soalan serius beliau dijawab sambil lewa oleh Wira yang juga Timbalan Menteri Pertahanan bahawa setakat ini tidak ada perancangan pembelian dan sekiranya ada keperluan barulah kementerian akan membuat pembelian.Ketika itu, bingkas Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mengemuka soalan kewajaran serta faedah membeli kapal 'second-hand' dan adakah ianya selamat digunakan.

"Dari segi kosnya ianya 'menguntungkan'... ianya masih selamat digunakan di Eden dan menjadi 'escort' kapal-kapal Malaysia yang berlayar di Eden," katanya.Perkataan 'menguntungkan' telah mencetuskan pelbagai sorakan dan 'suara-suara' sinis ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat termasuk daripada BN sendiri.

Salah Guna Kuasa Pegawai Kebajikan Masyarakat

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyelar sikap diskriminasi sesetengah pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang hanya melayan dan meluluskan surat permohonan bantuan kebajikan yang ditandatangani oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja berbanding Pakatan Rakyat.

BN secara tidak langsung menggunakan 'kuasa' yang ada di Kementerian terbabit untuk menafikan hak orang lain khususnya yang kurang upaya daripada menerima bantuan sekaligus menggambarkan BN masih lagi tidak dapat menerima keputusan rakyat yang telah diberi hak memilih wakil rakyat dan pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat.Fuziah memberi contoh kes seorang Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kuantan yang telah dinasihatkan oleh pegawai kementerian untuk mendapatkan tandatangan surat sokongan dan permohonan daripada seoarang wakil rakyat BN berbanding beliau sendiri selaku Ahli Parlimen Kuantan.

Katanya, pegawai tersebut mengherdik dan memberitahu sekalipun 1,000 surat yang ditandatangani oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat yang diserahkan kepada Kementerian, ianya tidak akan dilayan sama sekali.

"Ini bukan insiden pertama, sudah banyak aduan diterima. Ianya berlaku di mana-mana. Saya minta Menteri jawab dan jangan ada lagi 'denial syndrome' (menafikan). "Minta maaf cakaplah...BN ingat boleh buat ikut suka 'bapa' dia," katanya berang dan disambut sorakan ahli parlimen BN yang tidak puas hati dengan ayat sinisnya itu. Beliau berkata demikian, ketika bangkit membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat jam 12.30 tengah hari tadi.

Fuziah menyelar sikap tidak profesional Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat dalam menangani masalah-masalah kebajikan rakyat, yang mana hanya tertumpu dan berlegar kepada 'survival' politik mereka dan meminggirkan yang lain sehinggakan khidmat beliau selaku Ahli Parlimen tidak langsung diiktiraf.

"BN tidak dapat menerima kekalahan pilihan raya umum lalu...akibatnya pelbagai cara digunakan untuk menafikan hak rakyat yang telah pilih wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat," katanya.Beliau dalam pada itu turut mengkritik, laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang masih tidak dikemaskini hampir setahun, terbukti bila mana masih tertera lagi nama Dato' Sharizat Jalil sebagai Menteri kementerian terbabit sedangkan beliau kini adalah Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.

"Saya kira, oarang-orang di belakang laman web ini adalah yang bijak pandai tetapi apa agenda masih kekalkan nama Sharizat lagi?" katanya.